VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Sunday 30 March 2014

TINGKATKAN USAHA

Semua muridku,
Tingkatkan usaha. UPSR semakin hampir. Peperiksaan Tengah Tahun lagi hampir. Semua murid yang ingin kecemerlangan mesti berusaha dari sekarang. Jangan tunggu dekat dengan periksa, baru nak ulangkaji. Semoga semua berjaya. Kejayaan itu hendaklah bersama-sama dengan kejayaan dalam menyempurnakan solat.

UTAMAKAN SOLAT.

Thursday 13 March 2014

APABILA KITA SENTIASA SELESA.....

Apabila kita sentiasa selesa. sedikit kesusahan pun kita rasa amat payah dan berat untuk diatasi. Murid-muridku ramai yang merupakan anak kepada keluarga yang senang. Ibu bapa bergaji ribuan ringgit. Di rumah air pendingin hawa, kipas, bilik sebuah untuk seorang, ada bibik dan macam-macam lagi kemudahan.
Di samping itu, ramai yang berkereta. Paling kurang ada motosikal. Ada duit dan makan mencukupi.

Cubalah tengok dan hayati gambar di atas. Semoga gambar itu mendidik hati kita agar:-
1. Sentiasa dan sentiasa bersyukur kepada Allah.
2. Redha dan kuat untuk menghadapi sedikit kepayahan dalam kehidupan kerana ada lagi orang lain yang susah daripada kita.
3.Membantu dan sudi menolong orang yang lebih susah daripada kita. Jangan sekadar tengok dan dengar kesusahan orang lain.

SEKIAN.

Tuesday 4 March 2014

AKIBAT MALAS BELAJAR


Tahu dengan berilmu, tidak sama. Orang yang tahu belum tentu berilmu. Contohnya, seseorang tahu sedapnya telor goreng apabila di makan dengan nasi, belum tentu dia tahu cara-cara menghasilkan telur goreng. Apabila dia tahu memasak telur goreng bermakna dia berilmu. Dia mungkin dapat ilmu menggoreng telur daripada ibu atau kakaknya. Mungkin dia belajar dari buku masakan yang dibacanya. Akhirnya, apabila diperlukan dia berjaya memasak telur goreng yang enak dimakan. 

Orang yang hanya tahu tentang telur goreng dan hanya tahu makan, mungkin melakukan seperti gambar di bawah.
Kah!...Kah!...Kah!.... Kerja siapa macam ni.

Wednesday 26 February 2014

KASIH AYAH BONDA SAMPAI KE HUJUNG USIA.

....
Wahai murid-murid penyeri hidup ayah bonda,
Sejak dilahirkan ayah bonda bersusah-payah membesarkan kita. Mereka membanting tulang, berpenat-lelah demi mencari rezeki agar keperluan kita dapat dipenuhkan. Makan minum kita dijaga. Alatan permainan kita dibeli daripada sebiji bola kecil sehingga sebuah basikal yang kita hajati.

Bila besar, kita sudah mula pandai membantah harapan mereka. Kita sudah pandai bercakap kasar. Kita mula pandai mengutamakan kawan daripada ayah bonda. Kita terus menjadi beban kepada mereka. Semasa kecil, kita jadi beban tanggungan mereka. Apabila besar, masya-Allah kita menjadi bebanan pada perasaan mereka. Mereka menanggung dukacita atas tingkah-laku kita.

Wahai murid-muridku harapan ayah bonda,
Apakah di hujung usia mereka, kita terus menjadi beban kepada mereka seperti gambaran imej di atas? Insaflah, kenanglah budi ayah bondamu. Jagalah hati mereka dengan seluruh perasaan kasihmu. Sesungguhnya kamulah penyejuk hati ayah bondamu.


l

Friday 21 February 2014

AYAH, IBU DAN GURU

Jalan menjadi insan yang sejahtera ialah ikut nasihat ayah dan ibu serta guru-guru. Merekalah orang yang sangat-sangat ingin melihat anda berjaya dan bahagia. Mereka akan meninggalkan anda kerana mereka sudah tua. Mereka ingin melihat anda menjadi manusia yang soleh dan berjaya sebelum mereka menutup mata.

Di atas ialah gambar terbaru cikgu. Itu bukan motor cikgu. Cikgu hanya bergaya di atas motor kawan cikgu di SK. Chukai. Cantik kan?

Thursday 20 February 2014

SUDAHKAH MURIDKU SEMPUNAKAN SOLAT

Sempurnakan solat merangkumi 2 perkara. Pertama, sempurnakan 5 waktu solat seperti yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Kedua, sempurnakan dari segi berwuduk, bacaan dalam solat, niat, rukun-rukun, syarat sah dan segala perbuatan dalam solat.

Ada orang solat 5 waktu tetapi bacaan Fatehahnya salah kerana sebutannya salah dan tidak mengikut hukum tajwid. Ada orang solat 5 waktu tetapi tidak rata basuhan ketika berwuduk.

Demikianlah beberapa contoh kecuaian manusia berkaitan solat. Justeru, murid-muridku hendaklah sentiasa belajar ilmu solat agar solat kita sah dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Manakala yang belum solat 5 waktu, tanya diri: BILA LAGI?

Saturday 15 February 2014

Menilai Tahap Keinsanan Kita.



Apabila jumpa kucing atau binatang kelaparan, apakah tindakan dan sikap biasa kita?
1. Halau dan pukul.
2. Halau.
3. Halau selepas beri sedikit makanan.
4. Beri sedikit makanan.
5. Beri makan sehingga kucing itu kenyang.


Tengok gambar di atas. Nampak gaya lengan macam Mat Salleh. Malulah kita Melayu Islam ini kalau tak sudi buat tahap ke-5 itu. Berapa ringgit habis duit kalau buat macam itu? Setiap hari ke?

Di mana darjat keinsanan kita?

                                                                - dari cikgu zor ali.

Wednesday 12 February 2014

PANTUN 4 KERAT

PANTUN 4 KERAT... ^___^


KARYA : HAJI RAMLI
NAMA : ANIS IZATY BINTI AHMAD ZAMRI
KELAS : 6 AMANAH
JAWATAN : AJK BLOG
SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN PUSAT KEMAMAN

Wednesday 5 February 2014

Monday 3 February 2014

KETIKA AYAHANDA BERKORBAN

Ketika ayahanda berhempas pulas, mencari rezeki untuk belanja sekolah anakanda, adakah anakanda juga bekerja keras untuk menimba ilmu? Atau adakah anakanda cuma bermain-main di dalam kelas?

Ketika ayahanda menyambung nyawa untuk sesuap nasi menyara anakanda, adakah anakanda tidur dan leka ketika para guru mencurahkan ilmu?

Ketika ayahanda kepanasan di bawah terik mentari, adakah anakanda bertungkus-lumus menyiapkan kerja sekolah?

Ketika ayahanda berazam untuk membesarkan anakanda menjadi insan berjaya, adakah anakanda juga berazam untuk menghadiahkan kejayaan untuk ayahanda?

Anakanda, belajarlah memahami harapan ayahanda. Belajarlah bersungguh-sungguh demi masa depan keluarga kita.

Sunday 26 January 2014

UTAMAKAN SOLAT BERJAMAAH


Apabila murid-muridku sedar kewajipan solat, lebih-lebih lag secara berjamaah, sudah pasti anda semua tidak akan sekali-kali tinggal solat walaupun satu waktu. Malah anda semua akan cari kawan untuk solat berjamaah. Cikgu Zawawi sudi memimpin anda. Cikgu Hafis sudi berjamaah bersama anda di asrama. Ikutilah mereka yang menyeru dan mengajak anda ke arah keredhaan dan kasih sayang Allah.

Solatlah dan sempurnakan solat anda semua. Utamakan solat dalam segala urusan dunia kita. Tengoklah para pemain bola di atas. Di padang mereka dahulukan solat beramai-ramai dalam satu team. Ikutlah teladan yang baik itu. Ajakan anda kepada kawan-kawan adalah kerja dakwah. Lakukanlah semoga murid-muridku semua jadi anak soleh dan solehah.

Sekian. dari CikguZor.

Friday 24 January 2014

GAMBAR YANG MENYENTUH PERASAAN



Kalau orang bukan Islam begitu mulia hatinya terhadap seorang ibu, mengapa kita sebagai umat Islam yang diajar oleh agama, tidak mampu berbuat baik kepada ibu bapa kita? Mengapa kita selalu ingkar akan suruhan ibu bapa, bercakap dengan suara yang tinggi dan memperlekehkan kehadirannya?

Melalui gambar di atas, marilah kita berubah dengan cara meletak harga yang tinggi terhadap ibu bapa kita terutama apabila mereka semakin tua. Hargailah mereka seperti yang diajarkan oleh al-Quran dan al-Hadis.

Monday 13 January 2014

KEMBALI KE SEKOLAH DENGAN SEMANGAT BARU

Salam wahai muridku semua,
Sudah setengah bulan persekolahan sesi 2014 berlalu. Kini murid-muridku sudah berada di atas landasan untuk memecut. Usaha dan azam jangan ditangguhkan lagi. Mulalah bergerak dengan jadual waktu belajar di rumah, buku-buku rujukan dan persiapan minda yang cukup rapi.

Namun, ingatlah "dunia dikelek, akhirat dijunjung". Perintah Allah hendaklah diutamakan. Di kawasan kilang atau pembinaan selalu kita perhatikan "UTAMAKAN KESELAMATAN". Melalui tulisan ini cikgu mengajak murid kesayangan semua agar "UTAMAKAN SOLAT" daripada segala urusan. Janganlah solat dijadikan korban kerana sibuk bersukan dan letih belajar.

Marilah menuju kejayaan seperti dilaungkan dalam azan, "haiya 'alalfalah" yakni marilah menuju kejayaan. Semoga semua muridku berjaya dan berbahagia di dunia dan di akhirat. Salam untuk semua.

Saturday 4 January 2014

Salam untuk murid-muridku yang sudi terus membuka blog perkongsian ilmu dan dakwah ini.
1. Cikgu akan bantu posting bahan mulai hari ini kerana baru-baru ini laptop cikgu rosak dan sibuk dengan banjir. Insya Allah Cikgu Mohd Zawawi dan Ustazah Salmihah akan hidupkan blog ini dan lantik AJK baru yang berminat dan ikhlas berbakti.

2. Untuk makluman muridku, Cikgu Zawawi cuba hidupkan solat zohor berjamaah dan tazkirah di surau Tingkat 4. Jika kelapangan ikutlah Cikgu Zawawi solat Zohor berjamaah agar menjadi budaya solat berjamaah dalam kalangan muridku.

Sekian. Jumpa lagi.
Dari Cikgu Haji Mohd Zor Ali.