VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

WASIAT UNTUK REMAJA





BAB SATU
REMAJA DAN HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH



















WASIAT 1:

AWAS! JANGAN  SYIRIK KEPADA ALLAH.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

                                                                    Surah an-Nisa’:48

“(Akibat syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepadanya dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.”

                                                           Surah al-Ankabut: 66.


Wahai para remaja  permata hatiku,
Ketahuilah olehmu bahawa sebesar-besar dosa ialah syirik kepada Allah s.w.t. Syirik bermaksud menyekutukan Allah baik dari segi asma’ (nama-Nya), sifat-Nya dan af’al (perbuatan-Nya). Kita tidak boleh sama sekali merasakan dan mengatakan meskipun di dalam hati bahawa ada makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan dan bintang yang sama hebat dan setanding dengan Allah s.w.t. Benar  bahawa dalam sedar memang sukarlah untuk dicari manusia muslim yang sanggup mengatakan kuasa matahari sama hebat dengan kuasa Allah, nama manusia sama indah dengan nama Allah dan kemampuan manusia mencipta mikrocip dan komputer sama canggih dengan ciptaan Allah. Kalau mereka ber’itikad[1] demikian maka sudah pasti jelaslah kesyirikan itu malah boleh membawa kepada kerosakan akidah.


Para remaja sekalian,
Kini kita berada di zaman serba moden, apalagi di zaman kalian akan datang; zaman setelah ayahanda pergi menemui Ilahi. Bukan sahaja corak dan sistem kehidupan serta peralatannya canggih, malah cara berfikir manusia pun semakin maju dan menerawang kepada idea-idea baru. Manusia semakin meminggirkan ilmu dan amalan agama. Sewenang-wenang sahaja manusia bercakap tentang keberkesanan ubat-ubat, ketrampilan sistem teknologi maklumat dan kecekapan sistem perhubungan tanpa bersandar dengan iman kepada Tuhan. Mereka sudah terlupa untuk berkata dan mendetikkan di hati bahawa di sebalik serba kehebatan itu adalah bertitik-tolak dari  kuasa Ilahi semata-mata. Mereka telah lupa dan malas untuk mengiringkan kuasa Allah dalam hal-hal sedemikian. Mereka merasakan diri kolot atau konservatif[2] sekiranya selalu mendendangkan nama Allah; SubhanalLah. Jangan jadi demikian wahai anak-anakku.

Dengarkan lagi wahai anak-anakku,
Sering juga tanpa disedari kita bercakap tentang kuasa makhluk halus. Kadang-kadang manusia mengucapkan pelbagai jampi serapah yang tidak difahami maksudnya. Entah-entah jampi serapah itu memuji dan memuja kuasa hantu dan jin. Besar salahnya apabila kita menilai kuasa hantu dan makhluk halus begitu hebat sehingga dapat menentukan untung nasib dan hayat manusia. Kita merasakan hantu dapat memberi pelbagai sakit misteri dan jin dapat menyembuhkan penyakit. Begitulah juga sikap dan pegangan kita terhadap keberkesanan dan kehebatan ubat-ubatan moden. Kalau kalian meletakkan kehebatan pada ubat-ubatan tertentu, samalah dengan meletakkan kehebatan kepada makhluk-makhluk tadi. Ramai orang faham tentang kepercayaan syirik pada bomoh, jampi dan seumpamanya tetapi mereka pada sisi lain memuji dan memuja ubat dan perubatan moden dan kontemporari[3] seolah-olah ubat-ubatan itu ada kuasa tersendiri. Ini bermakna telah berlaku peralihan syirik bentuk lama kepada bentuk baru.. Kesyirikan tetap wujud. Di manakah Allah wahai anakku? Apakah makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang begitu hebat secara mutlak sehingga kita tidak merasakan lagi sesuatu kejadian itu ditentukan oleh Allah mengikut kehendak dan kuasa-Nya? Sedarilah wahai anak-anak remajaku bahawa kuasa makhluk adalah terbatas, lemah dan merupakan pinjaman sahaja.Hanya jika Allah izin barulah tangan dapat menghayun. Ingatlah diri kita umpama pokok dan bayang. Pokok tidak mampu bergoyang. Kalau pokok bergoyang  bermakna ada angin yang kita tidak nampak menolaknya. Begitu juga bayang; tiada bayang kalau tiada objek konkrit. Bayang yang bergerak itu adalah kerana objek kepada bayang itu bergerak. Kalau objek itu tidak bergerak maka tidak bergeraklah bayang itu. Ironis[4]nya, bergeraknya makhluk adalah kerana keupayaan yang dikurniakan oleh Allah sahaja. Demikianlah kedudukan kuasa makhluk dinisbahkan dengan kuasa Tuhan yang menjadikan kau dan aku serta alam keseluruhannya.


Anak-anak remajaku yang dirahmati Allah,
Begitu juga dengan hukum-hakam al-Quran. Dari hukum  harus hinggalah kepada hukum wajib, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah hukum itu mengikut nafsu dan kedangkalan ilmu kita. Mutakhir ini atas nama hak dan persamaan, ada orang yang mempertikaikan hukum pembahagian harta pusaka antara waris lelaki dan waris perempuan. Mereka mempertikaikan apa yang telah jelas termaktub di dalam al-Quranul Karim. Apakah mereka lebih pandai daripada Allah? Apakah makhluk (yang dicipta) lebih pandai daripada Khaliq ( Yang Maha Pencipta)? Subhanallah. Mereka merasakan ilmu dan kemajuan zaman mereka dapat mengubah hukum Tuhan mengikut kesesuaian. Ada pula dalam kalangan muslim yang merasakan ada hukum lain yang lebih baik dari hukum Tuhan. Mereka mempertikaikan hukum hudud dan qisas atas alasan tidak sesuai lagi pada zaman moden dan masyarakat majmuk. Apakah Allah begitu lemah sekali sehingga tidak tahu menurunkan suatu hukum yang sesuai untuk semua manusia, zaman dan tempat? Subhanallah. Betapa kronik[5]nya iman manusia yang mengaku muslim pada hari ini. Segala-galanya mereka hendak bersandarkan pada hukum akal mentang-mentang mereka ada segulung ijazah dan Phd. Mereka telah menterbaliksongsangkan keintelektualan mereka tanpa mereka sedari kerana terpesona oleh rasa hebat akan ilmu mereka.

Berwaspadalah wahai anak-anak  kesayanganku agar kalian tidak terperangkap dalam polemik[6] dan perdebatan intelektual yang sesat dan menyesatkan. Berhati-hatilah wahai putera-puteriku agar kalian tidak terperangkap di dalam telaga buta bernama kejahilan.


Anak-anakku para remaja yang dikasihi,
Aku berdoa agar Allah melindungi kalian daripada kejahatan syirik sama ada syirik yang halus atau nyata. Berdoalah kalian dan terus dekatkan diri pada Ilahi dan bertekun dalam mendalami ilmu yang akan menyelamatkan iman dan akidah kalian. Amin.

                              Kerana sisik ikan kelisa
                                  Tersilau pandangan burung pekaka
                              Kerana syirik iman binasa
                                  Tersiksa badan dibakar neraka.






WASIAT 2:
BAGAIMANA ALLAH MENJAGA KITA DAN BAGAIMANA PULA KITA MENJAGA HUBUNGAN DENGAN ALLAH?

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
                                                                                    Surah At-Taubat: 24

Para remaja yang dikasihi Allah sekalian,
Ibu bapa kita mencari rezeki untuk menyara kita tetapi belum tentu mereka memperoleh apa yang dicari. Ibu bapa menjaga kita daripada sakit dan penyakit tetapi belum tentu kita sihat sepanjang masa. Ibu bapa mengawasi dan mendoakan keselamatan kita tetapi belum tentu kita selamat. Yang menentukan segala-galanya ialah pemilik ibu dan bapa kita iaitu Allah s.w.t. 

Allah-lah yang mengizinkan rezeki diperoleh dan usaha ibu bapa kita berhasil. Allah-lah menentukan kita sihat dan selamat dari segala musibah dan bencana baik ketika kita jaga ataupun ketika kita tidur. Allah jaga dan jamin keperluan kita dengan jagaan yang terbaik dari segi kesihatan, keselamatan, rezeki dan sebagainya. Allah menjaga kita begitu rapi dan sempurna seolah-olah kita seorang sahaja hamba-Nya.

Dalam kehidupan sehari-hari, Allah mengutuskan malaikat untuk menjaga kita. Cuba fikirkan kenapa semut tidak masuk ke dalam rongga telinga dan hidung kita sewaktu kita tidur? Bukankah rongga-rongga itu tidak pernah tertutup sedangkan semut ada di merata-rata tempat? Tentulah ada sesuatu yang menjaga kita dari gangguan makhluk-makhluk kecil tersebut. Sudah pasti jawapannya ialah Allah. Kalau Allah tidak menjaga kita, entah apa yang berlaku kepada kita setiap hari dan setiap saat. Adakah kita  juga menjaga hubungan kita dengan Allah sedemikian rupa sedangkan hanya Allah satu-satunya  Tuhan kita? Adakah kita jaga solat kita? Adakah kita menambahkan kecintaan dan ketaqwaan kita? Adakah kita memuja dan memuji Allah umpama kekasih yang tenggelam dalam keasyikan rindu?


Para remaja yang dikasihi sekalian,
Setelah kita sedar betapa Allah menjaga kita, marilah kita mempertingkatkan hubungan kita dengan Allah. Khusyukkanlah hati ketika beribadat dan berzikir. Buanglah cinta palsu yang berasaskan nafsu  yang bertakhta di hati. Persadakan cinta Ilahi  di mercu hati. Semoga dengannya kita sentiasa dirahmati Ilahi.

Kata-kata Hikmat:
“Allah menjaga kita seolah-olah hanya kita seorang sahaja hamba-Nya.”

 

WASIAT 3:

SELALU BERSYUKUR KEPADA ALLAH

 

“Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”

                                                                                                 Surah al-Mu’minun: 78

“Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”

                                                                                                Surah Ghafir: 61

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.”

                                                                                    Surah adh-Dhuha: 11

Wahai putera-puteriku limpahan kurnia dari  Allah,

Sengaja ayahanda petik beberapa maksud ayat al-Quran di atas agar menjadi renungan kalian. Betapa Allah telah memperingatkan kepada kita tentang kebanyakan kita lalai daripada melahirkan kesyukuran atas limpahan nikmat yang  Allah kurniakan. Kita memandang enteng terhadap nikmat-nikmat tersebut kerana  kedangkalan sikap kita. Kita rasa, badan sihat itu perkara biasa kerana orang lain juga sihat. Kita rasa selamat pergi balik dalam perjalanan itu biasa kerana orang lain juga selamat. Kita rasa dapat makan dan minum itu biasa kerana orang lain pun dapat makan dan minum. Kita rasa dapat buang air besar dan air kecil itu biasa. Dapat berjalan dan bercakap itu biasa. Dan dapat tidur bangun itu biasa. Kerana kita rasa semua itu perkara biasalah menyebabkan tidak tercetus di hati kita rasa syukur.

Syukur ialah rasa terima kasih kepada Allah. Rasa terima kasih pula berlaku apabila kita menerima sesuatu yang kita rasa berharga. Oleh sebab semua nikmat di atas kita rasa biasa, maka kita tidak rasa nikmat itu berharga. Justeru itu, tidak lahirlah rasa syukur pada lidah dan hati kita.

Kalau kita insafi segala nikmat itu, pasti kita akan ucap syukur melalui lidah dan  hati  setiap hari, setiap masa sebelum tidur dan  bangun tidur. Kita akan sujud syukur. Kita ingat akan Allah sentiasa. Maka hati kita sentiasa bergantung pada Allah.  Allah berfirman yang bermaksud, "Jadilah kamu hamba yang banyak bersyukur".

Wahai putera-puteri yang disayangi,

Ayahanda memilih untuk berpesan kepada kalian agar menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur kerana ayahanda sangat bimbang sekiranya kalian tidak tahu menjadi hamba yang berterima kasih sedangkan limpahan kurniaan Allah itu sangat banyak dan berlaku setiap detik. Dalam hubungan kita sesama manusia pun kita akan dipandang buruk akhlak jika tidak mengucapkan terima kasih apabila diberikan sesuatu, inikan pula yang memberikan kurniaan nikmat itu ialah Tuhan Yang Maha Suci. Kalau sesama manusia kita sudah dianggap hina, apatah lagi nilai diri kita di sisi Allah.  Jahatnya kita. Atas sebab inilah ayahanda mengingatkan kalian agar sentiasalah mengucap syukur pada lidah dan pada hati. Biarlah rasa syukur itu lahir pula dalam bentuk perbuatan taat akan Allah s.w.t.

                                    Bukan  kacang lupakan kulit,

                                                Bukan kera mendapat bunga;

                                    Biar jadi hamba yang baik,

                                                Banyak bersyukur pada Tuhannya.



WASIAT 4:
LIMA MINIT DALAM SOLAT

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.”
                                                                                                Surah Hud: 23

“Solat itu tiang agama. Solat itu kunci segala kebaikan..”
                                                                                 Hadis riwayat Thabrani.

Anak-anak remaja harapan ayah bonda sekalian,
Solat adalah tiang agama yang menjadi asas kepada pembentukan peribadi muslim.
Solat bukan sekadar pergerakan dan bacaan untuk 5 minit. Solat adalah melupakan dunia untuk 5 minit untuk khusyuk di hadapan Allah. Masa 5 minit itu sangat pendek sebenarnya berbanding masa yang dihabiskan dengan aktiviti kehidupan yang lain. Namun sayangnya, ramai dalam kalangan kita yang masih mencuri masa 5 minit itu untuk mengingati perkara-perkara keduniaan yang lain. Masa yang sepatutnya difokuskan kepada proses menghadap diri kepada Allah, disaratkan dengan kelalaian.

Tiada nilainya solat yang kosong dari kekhusyukan. Apalah erti solat kalau dilakukan bagai terpaksa dan mahu selesai solat secepat mungkin. Janganlah anak-anak remajaku berbangga kerana telah solat 5 waktu sedangkan solat yang dilakukan hanyalah solat ala kadar yang terpaksa.

Para remaja hamba Allah yang mulia,
Muliakan solatmu melalui kekhusyukan dan benar-benar memanfaatkan majlis menghadap Allah yang Maha Menyaksikan. Solat yang baik bermula dengan wuduk yang sempurna dan diakhiri dengan wirid serta doa. Janganlah punggung kalian terus terangkat meninggalkan sejadah sebaik sahaja kalian menyapu muka memberi salam. Kalau majlis bersama dengan manusia pun kita tahu menghormatinya, inikan pula majlis bersama Allah. Biarlah kita beradab sebagai hamba yang sentiasa selesa berada dalam majlis 5 minit bersama Allah.

Rasa berdosa sepatutnya timbul dalam hati kita. Ada hadis yang mana Nabi s.a.w. memberitahu kepada kita bahawa bahagian solat yang khusyuk diterima Allah bagai kain putih bersih manakala bahagian yang tak khusyuk umpama kain buruk yang dilempar kembali ke muka kita.

Rasa gerun dan menyesal bercampur-aduk. Maklumlah solat kita sentiasa berseling-seli antara khusyuk dan tidak. Ada waktu khusyuknya sehingga 70%. Ada ketikanya cuma khusyuk 30%. Selebihnya ialah bahagian yang tidak khusyuk. Maka apalah nasib kita dan solat kita bagi peratusan bahagian yang tidak khusyuk itu?

Kita sewajarnya merasa dukacita dan takut kepada Allah kerana di alam barzakh atau di akhirat kelak Allah akan menayangkan solat kita untuk tatapan. Tentulah Allah tunjukkan bahagian-bahagian solat yang tidak khusyuk itu. Tentulah Allah murka. Balasan bagi orang yang dimurkai Allah, kita tahulah sendiri. Di akhirat pula tu. Bukan boleh menyesal lagi dan nak balik ke alam dunia kerana nak baiki semula amalan solat yang rosak itu.

Remaja yang dirahmati Allah sekalian,
Ayahanda berpesan agar berilah nilaitambah kepada solat kalian. Jangan terus melalaikan diri dalam solat. Apalagi yang hendak dikejarkan. Sedari bahawa dari hari ke hari kita semakin hampir dengan kematian. Yang dikejar adalah fatamorgana[7] yang indah pada pandangan mata. Sedangkan keindahan sebenar ada dalam solat kita. Sedarilah bahawa daripada masa 1 440 minit sehari semalam, masa terbaiknya adalah masa ketika kita berada 5 minit dalam solat. Kenapa hendak dipendekkan lagi masa itu?

                        Dahan kemboja bercabang lima,
                                    Hampir dengan pohon melati;
                        Dalam solat terasa lama,
                                    Tanda iman belum sebati.



WASIAT 5:
KITA HARUS HAIRAN DENGAN KEBERATAN MULUT KITA.


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu, tenang dan tenteramlah hati manusia.”
                                                                                                            Surah ar-Ra’d: 28

Putera-puteri yang dikasihi sekalian,
Sedarilah bahawa mulut kita yang merangkumi bibir, lidah dan gigi adalah antara anggota yang paling ringan berbanding dengan kaki, tangan dan kepala. Gerakannya pula melibatkan otot-otot yang amat  kecil dan pergerakan yang ringan. Perhatikan semasa kita bercakap; sejauh mana gerakan lidah dan dua bibir. Berapa peratuskah tenaga yang digunakan untuk menggerakkannya. Malah sekiranya kita berkata-kata dengan perlahan, orang yang berada di sekeliling kita pun tidak menyedarinya.

Ketahui oleh anak-anakku sekalian bahawa antara fungsi mulut yang paling utama ialah mengeluarkan kata-kata. Kata-kata yang terbaik ialah zikrullah. Tetapi sayangnya kita malas pula menggunakan mulut untuk melafazkan ayat-ayat yang mulia itu, sedangkan kita boleh bercakap berjam-jam tanpa henti untuk hal-hal yang tidak berfaedah. Dari mula bangun tidur hingga ke saat mata terlelap, banyak mana lidah digunakan untuk hal-hal keduniaan dan banyak mana pula lidah digunakan untuk memuji dan memuja Allah, Tuhan yang kita akan hadapi di Padang Mahsyar kelak?

Ketika duduk keseorangan sama ada ketika memandu, bersiar-siar dan berehat, kita lebih suka berdiam dan memberi rehat kepada lidah kita. Kononnya pada waktu-waktu lain lidah kita sudah banyak bekerja dan berkomunikasi dengan manusia lain. Habis, bilakah kita nak bersibuk-sibuk dengan Allah melalui lidah kita yang ringan itu?

Contohnya, cuba analisis kata-kata “lailaha illaLah” pada lidahmu. Huruf-hurufnya terdiri daripada huruf-huruf hijaiyah yang ringan sebutannya. Antaranya, huruf  ‘alif’, ‘lam’ dan ‘ha’. Apabila kita melafazkannya secara perlahan, bibir tidak bergerak pun. Yang bergerak hanyalah hujung lidah. Ini bermakna apabila kita bertahlil dalam kalangan orang ramai pun, mereka tidak akan sedar bahawa kita sedang berzikir. Tiada peluang riak langsung. Hanya kita dengan Allah sahaja meskipun orang lain berada di sekeliling kita. Fikirkan bagaimana Allah telah aturkan satu kalimah suci yang mudah untuk hamba-Nya  melazimkan pada lidah-lidah mereka. Tetapi sejauh manakah manusia berfikir tentang hal ini?

Anak-anakku sekalian,
Pesanku; lazimkanlah lidahmu dengan zikrullah. Basahi lidah sentiasa dengan lafaz-lafaz suci dan mulia yang mengundang kasih sayang dan keampunan dari Allah. Jangan bazirkan nasihat dan wasiat yang amat berguna ini.

Kata-kata Hikmat:
Memuja dan memuji manusia adalah berpura-pura. Memuja dan memuji Allah adalah bercinta-cinta.”




WASIAT 6:
BERDOALAH KERANA DOA ITU SENJATA PARA MUKMIN

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

                                                                      Surah al-Baqarah: 164




Wahai remaja yang dikasihi sekalian,

Setiap hari dan detik kita bergerak ke sana dan ke sini atas pelbagai urusan kehidupan. Kita berulang-alik ke sekolah pada setiap pagi dan petang sama ada dengan berjalan kaki, menunggang motosikal, menaiki kereta atau bas. Pada waktu-waktu yang lain kita sentiasa berada di jalan raya yang sungguh mencabar. Kenderaan bersimpang-siur. Alhamdulillah kita selamat.  Kita semua selamat dalam perjalanan ke mana sahaja, bukan kerana kita cekap memandu. Ramai orang yang cekap memandu terlibat dalam kemalangan. Ada kemalangan kerana kecuaian sendiri dan ada kerana kecuaian orang lain.

Percaya dengan yakinlah bahawa kita diizinkan selamat oleh Allah kerana doa kita yang disertai oleh rahmat Allah. Dalam segala aspek kehidupan kita, kita selamat dan berjaya mengharunginya bukan kerana kita cerdik, kaya, cantik dan sebagainya; tetapi kita selamat dan berjaya adalah kerana berkat doa dalam solat, lepas solat dan di segala tempat serta rahmat Allah yang sentiasa melimpah-ruah bagi sesiapa yang sentiasa bersyukur. Jangan lupa juga bahawa ucapan salam yang dihulurkan dan membalas salam orang juga merupakan doa yang memberkati hidup kita.

Putera-puteri yang masih berada di alam remaja,
Ingatlah akan Allah selalu. Setiap detik Allah menjaga kita. Lihatlah bagaimana kalian selamat pergi dan balik dari sekolah. Waktu pagi dan petang, kalian berada di jalan raya yang sibuk. Seandainya Allah tidak menjaga kalian, sudah pasti telah beratus-ratus kali kalian terlibat dalam kemalangan. Oleh sebab Allah menjaga kitalah maka kita sentiasa selamat. Keselamatan itu tidak datang begitu sahaja. Keselamatan adalah anugerah Allah yang jarang kita fikirkan kerana ia berlaku dalam bentuk lumrah. Orang jarang fikir akan perkara yang sudah menjadi lumrah. Kerana jarang berfikirlah maka orang tidak sedar bahawa nikmat Allah selalu melimpah pada dirinya.

Melalui wasiat ini ingatlah wahai para remaja sekalian. Doa itu senjata bagi orang-orang mukmin seperti disabdakan oleh Nabi s.a.w. Yakinilah pada doa.  Berdoalah dengan khusyuk dan ketahuilah apa yang kita doakan sekiranya doa itu dibaca dalam bahasa al-Quran. Jangan kita menjadi seperti burung tiung yang hanya pandai menghafal beberapa patah perkataan tetapi tidak tahu apa yang disebutkan. Doa mestilah datang dari lubuk hati , terpantul pada lidah dan meresap ke dalam jiwa yang penuh pengharapan kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, lazimkanlah berdoa dalam setiap detik dan perjalanan aktiviti hidup kita terutamanya di zaman yang penuh pancaroba  ini. Gandingkanlah doa itu dengan rasa syukur atas anugerah keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kita pada setiap detik.

Kata Hikmat :
“ Tidak usahlah membawa pisau dalam tanganmu. Bawalah doa dalam dadamu.”

WASIAT 7:
KEMBALI KEPADA TUJUAN KITA DICIPTAKAN


“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepada-Ku”
                                                                                                            Surah az-dzariyat: 56

Para remaja yang soleh dan solehah sekalian,
Lihatlah mentari yang mula naik di ufuk timur pada waktu pagi dan dan menghilang di ufuk barat pada waktu senja. Perhatikan pucuk-pucuk muda yang segar selepas hujan dan daun-daun kering yang berguguran. Renungi burung yang berterbangan, air yang mengalir dan gunung yang menunjangi bumi dengan kukuhnya. Semua itu ada pengajaran untuk diambil. Semua itu ada hikmah dan tujuan yang ditentukan Allah pada  kejadiannya. Bagaimanakah pula tentang kejadian kita yang menjadi khalifah di bumi ini?

Persoalan pokok tentang kejadian manusia mungkin pernah kalian fikirkan. Kalian tertanya-tanya mengapa Allah jadikan kita dan atas tujuan apa Allah jadikan manusia. Mungkin selama ini kita sibuk sehingga tidak berkesempatan untuk mencari jawapannya. Kita hanya menghabiskan masa dengan  kerja buat  yang dipandu oleh matlamat kita sendiri.

Para remaja yang dikasihi lagi disayangi sekalian,
Ayat di atas dari surah azd-dzariyat menjadi jawapannya wahai anak-anak remajaku. Maknanya cukup jelas dan mudah difahami. Itulah sebenarnya Allah menjadikan kita dan manusia seluruhnya. Kita diciptakan bukan untuk sesuatu tujuan yang tidak pasti. Kita juga tidak diciptakan untuk sibuk dengan urusan sendiri. Apalagi kalau kita tenggelam dalam keseronokan dunia yang penuh dengan hiburan dan tipudaya yang melalaikan. Itu sangat jauh menyimpang daripada tujuan Allah menjadikan kita. Itu kesesatan namanya.

Wahai remaja yang dirahmati semua,
Adakah kalian sedang bernafas atas landasan dan tujuan kalian diciptakan? Apakah ertinya beribadat seperti yang dimaksudkan Allah dalam surah di atas? Ibadat itu luas maksudnya wahai anak-anak remajaku. Ibadat bermakna mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Beribadat bererti kita menjadi hamba dan memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta. Solat, puasa dan berzikir adalah ibadat. Belajar dan bekerja untuk Islam juga ibadat. Tidur juga ibadat. Malah tidak melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah juga dinamakan ibadat. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan mengikut syariat dan peraturan Allah. Semuanya menjadi ibadat apabila dilakukan kerana Allah.

Anak-anak remajaku berada pada jalan yang benar sekiranya kalian melakukan aktiviti dan rutin kehidupan selaras dengan kehendak agama. Kalian menepati tujuan diciptakan seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam ayat suci di atas. Kalau anak-anakku berada di jalan yang bertentangan dengan perintah Allah , ayahanda menyeru kalian membetulkan semula langkah di bumi yang bersifat sementara ini.  Tinggalkanlah amalan yang melalaikan diri kalian  daripada mengingati dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ingatlah bahawa sesiapa yang gagal melakukan pengabdian diri kepada Ilahi bererti dia gagal menepati tujuan Allah menciptanya. Sudah pasti balasan yang amat menakutkan menanti manusia yang menyimpang hidupnya daripada landasan agama. Ayahanda yakin pesanan ini dapat menjadi renungan kalian. Ayahanda doakan keselamatan dan kesejahteraan untuk kalian wahai permata hati.

                        Buluh perindu tumbuh di hutan,
                                    Dibuat serunai merdu sekali;
                        Taat beribadat kepada Tuhan,
                                    Baru menjadi hamba sejati.
                                   


WASIAT 8:
MENCARI SUDUT POSITIF DARIPADA DOSA LEPAS

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka ( dan sememangnya tiada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah), dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui ( akan salah dan akibatnya).”
                                                                                                Surah Al-Imran: 135

Wahai anak-anak penyejuk hati ayahbonda sekalian,
 Kali ini ayahanda membawa satu renungan yang boleh dikatakan berada di luar minda kita semua. Sebenarnya tiada manusia terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat. Kita bukan nabi yang maksum[8]. Kita adalah manusia biasa yang berubah-ubah tinggi rendah keimanannya. Dalam diari kehidupan, semakin panjang umur kita semakin banyak kesilapan yang terlipat dalam sejarah hidup kita. Orang yang beriman akan menangisi dosa-dosanya tanpa segan-silu  mengalirkan air mata. Air mata yang jernih bagai menggilap keinsafannya. 

Anak-anak yang dikasihi,
Kalian akan mengalami rasa berdosa nanti. Namun wajarkah perasaan itu berlalu begitu sahaja tanpa diambil manfaatnya? ‘Dosa lepas’ bagi orang yang beriman umpama hutang dan mata pisau yang terlekat pada jantung. Hutang perlu dibayar kepada Allah dalam bentuk taubat dan gandaan amalan soleh. Mata pisau perlu dicabut dengan istighfar, zikrullah dan penyesalan yang bersungguh-sungguh sehingga rasa dekat benar diri pada Allah. Oh nikmatnya diri apabila dapat merasai diri dekat dengan Allah.

‘Dosa lepas’ adalah tali pengikat antara kasih kita kepada Allah dengan kasih Allah kepada kita. Cinta makhluk kepada Khaliq[9] dan cinta Khaliq kepada makhluk boleh terjalin melalui ‘dosa lepas’. Kenapa? Kerana ‘dosa lepas’ adalah pintu taubat, pintu istighfar, pintu zikrullah, pintu takut dan pintu harap. Pintu besar kepada pintu-pintu itu ialah pintu syurga. Manakala Allah pula kasih kepada hamba-Nya yang sedar, insaf, bertaubat, takut dan berharap kepada-Nya.

Bukan untuk menjustifikasikan[10] dosa kita. Bukan untuk rasa selesa dengan dosa-dosa yang pernah dilakukan pada masa-masa terdahulu. Apatah lagi untuk mendorong perlakuan dosa baru. Ayahanda percaya bahawa anak-anak remajaku yang pintar dan murni jiwanya  dapat memahami dan menyelami apa yang ayahanda maksudkan.  ‘Dosa-dosa lepas’ baik yang dilakukan semalam atau bertahun-tahun yang lampau boleh ‘dimanfaatkan’ untuk menghisab diri. Apabila dosa-dosa ini dihisab akan terbitlah rasa keinsafan dan taubat. Sekiranya dosa-dosa lepas tidak dikenang dan direnung maka jadilah kita manusia pelupa sedangkan dosa tetap kekal dalam lipatan sejarah.

Penutupnya ialah, ambillah pengajaran dan peluang dari dosa-dosa lepas untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa insaf, takut dan berharap kepada Allah seiringan dengan istighfar, taubat, zikrullah dan penggandaan amalan soleh. Orang yang ‘menghargai’ dosa-dosa lepas akan membayarnya dengan amalan yang berganda-ganda sebagai penebus segala dosa. Dia akan sentiasa benci akan dosa-dosa lepas dan dosa-dosa di hadapan. Ingatlah wahai para remaja sekalian! Kita hanya lupa dosa-dosa lepas yakni dosa yang dilakukan sejak zaman remaja tetapi dosa-dosa itu tidak pernah hilang dari rakaman citra kehidupan kita. Dosa-dosa itu akan zahir kembali tepat pada masanya antara kita dengan Allah di Padang Mahsyar kelak. Demikianlah ayahanda berkongsi keinsafan bersama kalian. 
“(Iaitu) orang-orang yang berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka".

                                                                                    Surah al-Imran: 16

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengatahui (akan salahnya dan akibatnya).”

                                                                                    Surah al-Imran: 135



WASIAT 9:
JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERJASA
”Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”
                                                                                              Surah as-Shaf: 14
Pada remaja yang disayangi sekalian,
Banyak cara untuk kita berjasa kepada orang yang kita sayangi. Kalau kita hendak menjadi anak yang berjasa kepada ibu bapa, kita bila-bila masa boleh menawarkan tenaga. Jika ibu bapa kita minta bantuan kita untuk membersih rumah dan membasuh pakaian, kita boleh tolong. Jika ibu bapa kita letih dan sakit, kita boleh saja memicit dan merawat. Jika kita berwang, boleh saja tiap-tiap bulan kita menghulurkan wang kepada mereka. Jika ibu bapa kita telah tua, lagi banyak peluang untuk kita berjasa kepada mereka. Kita boleh mengajak mereka tinggal di rumah kita. Kita boleh hiburkan hati mereka dengan mengajak mereka bersiar-siar dan membeli barang keperluan mereka. Kita boleh berjasa kepada mereka, bukan setahun sekali malah setiap hari. Begitulah hakikat berjasa kepada manusia secara umumnya.

Tetapi kepada Allah, apakah peluang dan bagaimanakah cara kita dapat berjasa kepada-Nya? Allah ialah Tuhan dengan sifat kamalat[11] yang bersalahan dengan sifat manusia. Allah tidak akan rasa letih dan sakit seperti mana manusia merasainya. Allah tidak memerlukan pakaian dan makanan seperti mana manusia memerlukannya. Malah Allah tidak memerlukan manusia seperti mana manusia memerlukan Allah. Lantas, peluang untuk kita menjadi hamba Allah yang berjasa sangat terhad. Sangat terhad.
Kita ada satu ruang dan peluang sahaja untuk menjadi hamba Allah yang berjasa. Ruang dan peluang itu ialah MENOLONG AGAMA-NYA. Inilah satu-satunya peluang dan ruang yang terhampar di depan kita. Kalau kita berlalu tanpa mengutip peluang ini, maka tiadalah kita menemuinya lagi di sepanjang perjalanan hidup kita.

Para remaja pencinta agama,
Dua langkah yang boleh kita ambil untuk menolong agama Allah ialah:-
1.    Menjadi DA’I  - Da’i atau pendakwah berperanan dalam menyebarkan agama Allah kepada dua pihak. Pihak pertama ialah manusia yang  yang belum beragama Islam. Kita boleh menerangkan tentang kebenaran, kebaikan dan kesyumulan Islam kepada kaum Cina, India dan sebagainya melalui lisan dan tulisan. Kita boleh menjelaskan kekeliruan mereka di samping memperkenalkan keindahan dan keadilan Islam kepada mereka.

     Kita juga sewajarnya berdakwah di kalangan umat Islam sendiri agar umat Islam lebih mengenali agama mereka, beriman dan beramal dengan ajaran al-Quran dan al-Hadis yang mencakupi segala skop kehidupan. Medan dakwah sentiasa terbuka, istimewa dalam keluarga kita sendiri, seiring dengan medan yang lebih luas di luar sana.

2.    Menjadi JUNDULLAH  - Jundullah ialah tentera Allah yang berjuang di medan jihad sama ada jihad itu menuntut pengorbanan nyawa atau menuntut pengorbanan tenaga, masa dan harta benda. Kita boleh menjadi jundullah dalam menegakkan hukum Allah, syariat-Nya dan berjuang dalam menjadikan hukum dan syariat itu berdaulat, ’memerintah bukan diperintah’.

Dalam kedua-dua langkah itu, kita tidak akan ditanya tentang berapa orangkah sudah berjaya di-Islamkan atau sudah menangkah kita dalam menegakkan Islam. Berjaya dan menang adalah hak dan ketentuan Allah. Yang penting adalah kita berperanan secara istiqamah tanpa mengenal putus asa. Kerja kita hanya tamat apabila berakhirnya nafas terakhir kita. Kerja Islam adalah kerja tanpa musim.

Wahai remaja harapan agama,
Demikianlah dua langkah yang perlu diambil sekiranya kita ingin BERJASA KEPADA ALLAH. Ingat, seorang ’abid (ahli ibadat)  belum tentu menjadi hamba yang berjasa kepada Allah melainkan dia turun bersama ke medan jihad. Akhirnya, pilihan sudah ada di depan kita; sama ada kita ingin menjadi HAMBA ALLAH  YANG BERJASA atau HAMBA ALLAH YANG TIDAK TAK TAHU MENGENANG JASA.

                                    Kulit kerang di tepi batu,
                                                Ombak bergulung pecah di muara:
                                    Berdakwah berjihad matlamat nan satu,
                                                Ikhlas bekerja untuk agama.



WASIAT 10:
JANGAN LENGAHKAN IBADAT HAJI APABILA  DEWASA NANTI

“Khabarkanlah kepada sekalian manusia itu untuk melakukan ibadat Haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai  (unta dan lain-lain) , mereka itu akan datang dari segala ceruk rantau yang jauh.”
                        al-Haj: 27


Puteri-puteri yang dikasihi sekalian,
Apa yang ingin dibicarakan dalam tulisan ini mungkin  masih jauh masanya daripada usia remaja kini. Namun,  sebagai pesanan yang berbentuk peringatan, tidak salah dipesankan untuk anak-anak kerana masa akan tiba suatu hari nanti.  Ayahanda melihat betapa ramai umat Islam di negara kita melengah-lengahkan kefardhuan mengerjakan haji setelah cukup syarat-syaratnya.

Ada dalam kalangan umat Islam yang telah mampu dari segi kesihatan dan harta benda masih menunggu usia pencen untuk menjejak kaki ke tanah suci. Bukan mereka tidak mampu sebenarnya. Sebaliknya mereka mencipta ketidakmampuan yang palsu. Selepas mereka memiliki rumah dan kereta, wang yang ada digunakan pula untuk menambah kereta atau menukar kereta baru atau membesarkan rumah. Kalau dijumlahkan semua harta yang mewah tadi, seseorang itu sudah jauh lebih mampu untuk mengerjakan fardu haji. 

Ada juga manusia berfikir tentang nasib anak-anak yang masih kecil. Kali ini anak-anak kecil pula dijadikan alasan. Adakah wajar mengenepikan fardhu haji itu kerana bimbangkan  anak-anak tidak terjaga dengan baik? Adakah kita menjaga anak-anak lebih terjamin daripada Allah menjaganya? SubhanalLah. Kenapalah rendahnya ketaqwaan dan tawakkal kita kepada Allah. Yakinilah bahawa Allah menjaga anak-anak kita lebih baik daripada kita sendiri yang menjaganya.

Wahai anak-anak remajaku sekalian,
Apabila sudah cukup syarat-syaratnya, berdosalah kita sekiranya melengah-lengahkan kefarduan ini. Bagaimanakah nanti sekiranya kita tiba-tiba mati sebelum sempat melakukannya sedangkan kita telah mampu? Tidakkah kita dikira berdosa?  Mampukah kita menjawab di hadapan Allah dengan alasan yang kita cipta di dunia? Dan mampukah kita berhadapan dengan seksa Allah?

Putera-puteriku paying agama sekalian,
Sebenarnya ayahanda bimbang sekiranya kalian termasuk dalam golongan yang lalai. Kelalaian itu telah berjenama dalam bangsa kita walaupun di dua tanah suci Mekah dan Madinah bangsa kitalah yang dipuji kerana disiplin dan akhlaknya. Tetapi dari segi budaya melengah-lengahkan ibadat haji hanya Allah Ta’ala sahajalah yang tahu. Wahai anak-anakku, keluarlah dari budaya buruk yang kita tidak mampu menjawabnya di hadapan Allah kelak. Kerjakanlah ibadat haji ketika muda, badan masih segar dan perkasa. Jangan tunggu masuk usia setengah abad atau pencen baru mahu ke tanah suci. Ketika itu badan mungkin ada keuzuran, tenaga mungkin tidak selincah zaman muda lagi. Lagipun umur belum tentu panjang seperti yang diharapkan. Ingatlah wahai putera-puteriku agar kalian menjadi orang yang tidak menyesal di hadapan Allah Rabul-Jalil.


Kata-kata Hikmat:
Manusia yang lalai selalu kaya dalam urusan maksiat tetapi rasa miskin untuk urusan ibadat.


WASIAT 11:
MESEJ BALA DARIPADA ALLAH

“Seorang yang ditimpa bencana lalu berkata:”Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada-Nya kita kembali. Ya Allah berilah aku ini ganjaran dengan bencana yang menimpa diriku dan gantilah padaku dengan kebaikan daripadanya.” Maka Allah akan memberikan ganjaran akibat bencana yang menimpa orang tersebut dan akan digantikan sesudahnya dengan kebaikan daripadanya.”
                                                                                                            Hadis Nabi s.a.w.

Para remaja yang dirahmati Allah,
Masihkah kalian ingat peristiwa tsunami yang melanda Acheh dan beberapa buah negara  lain termasuk di negeri utara Malaysia beberapa tahun yang lalu? Kemudian berlaku pula bencana gempa bumi di Padang Indonesia yang turut mengorbankan beribu-ribu nyawa. Ini disusuli oleh wabak selesema babi (H1N1) yang menular hampir ke seluruh bahagian dunia. Kini ketika anda sedang menghayati tulisan ini dan esok entah apa pula wabak dan bencana yang akan berlaku.

Sudah pastinya Allah menurunkan sesuatu bencana dan wabak itu sebagai satu bala atas kebiadapan dan kedurjanaan manusia. Ini berdasarkan kisah-kisah zaman para nabi terdahulu. Bagi orang beriman, wabak dan kesusahan akibat bencana atau penyakit tersebut berlaku sebagai kifarat dosa kita yang lepas. Kita semua wajib bertanggungjawab atas segala maksiat yang begitu hebat bermaharajalela di sekeliling kita. Mungkin kita bukan pelaku maksiat itu tetapi kita tidak berusaha membasminya. Maka kita turut menerima tempiasnya.

Para remajaku sekalian,
Mesejnya jelas iaitu Allah memperingatkan kita agar kembali kepada Islam dan dan mengamal segala ajarannya. Jangan sekali-kali kita Islam pada nama atau Islam baka sahaja. Perkara yang Allah haramkan dan murkai semesti kita hindarkan. Yang Allah suruh mesti kita laksanakan. Al-Quran dan al-hadis jangan dipertikaikan baik dari segi hukum-hakamnya, pengajarannya dan segala isinya. Yang pentingnya hendaklah kita menjadi golongan manusia yang mendirikan kebaikan ( ma’aruf) dan mencegah kemungkaran.

Air laut yang bergelombang, bumi yang merekah dan  virus H1N1 adalah makhluk Allah.   Mereka tiada kuasa memudaratkan manusia. Allah yang menentukan kepada siapa akan diuji dan diajar-Nya. Maka tiada konsep penyakit berjangkit. Namun Islam mengajar kita berikhtiar agar terhindar daripada virus dan wabak ini. Caranya, kita disarankan agar membaca doa mengelak wabak walaupun dalam bahasa ibunda (dan yakini doa itu), elak daripada berada di tempat awam, pakai penutup hidung, basuh tangan sehingga suci dan insafi kelemahan diri.

Dengan itu, para remajaku jangan mengambil ringan akan  hal ini walau di mana berada. Allah marah kalau kita tidak gentar akan ancaman-Nya. Marilah kita insafi kekerdilan dan kelemahan diri kita sebagai makhluk di samping mengagungkan kehebatan dan kebesaran Allah. Kita semestinya berusaha dan bertawakkal kepada-Nya. Berusahalah wahai remaja-remajaku mengelak dari berlakunya malapetaka ini dengan kembali tunduk dan patuh akan perintah dan hukum-hakam Allah.


WASIAT 12:
AMALAN ORANG BERIMAN SEBELUM MELELAPKAN MATA

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
                                                                        Surah al-Imran: 191
Anak-anak remajaku sekalian,
Ayahanda berpesan kepada kalian agar janganlah dilelapkan mata tanpa mengambil masa seminit dua sebelum memejam mata untuk bermuhasabah, beristighfar, berzikir, berselawat dan berdoa. Jangan tidur dengan ‘tangan kosong’. Bawalah buah tangan sebelum mata   terlelap dengan ayat-ayat yang menghubungkan kita Allah s.w.t. Jadikan amalan ini sebagai satu kemestian sampai ke mati. Mana tahu kita akan mati dalam tidur. Maka kita kena ingat, sesiapa yang mati dengan akhir kalamnya "Lailaha illaLah", maka Allah menjamin syurga untuknya.

Mengapakah remajaku perlu bermuhasabah, berzikir, beristighfar dan berdoa sebelum tidur sedangkan amalan itu sudah dilakukan pada waktu siangnya, khususnya selepas solat lima waktu? Ada beberapa sebab yang ingin ayahanda gariskan satu persatu.

  1. Ada kemungkinan kita mati dalam tidur. Sekiranya kematian itu berlaku dalam keadaan kalam terakhir kita ialah ‘lailaha illaLah’, maka kita telah mendapat kelebihan di sisi Allah.
  2. Malam yang sunyi dan hening adalah waktu terbaik untuk memikirkan kebesaran Allah, kesilapan dan dosa kita serta mengeratkan kecintaan kepada Allah.
  3. Berzikir adalah jalan untuk mendapat kasih sayang Allah. Dengan berzikir bermakna kita telah memuji dan memuja kebesaran Allah. Berzikir sebelum tidur bererti kita tidur dalam kerinduan terhadap Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  4. Beristighfar sebelum tidur adalah satu proses membersihkan diri yang titik-titik hitam yang menggelapkan hati kita. Tidur dalam istighfar adalah tidur yang indah, putih dan bersih.
  5. Berdoa sebelum tidur juga ajaran Islam untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Atas lima perkara itulah, ayahanda berpesan kepada para remajaku agar meluangkan sekadar seminit dua untuk melakukannya sebelum tidur. Beristiqamahlah dengan amalan yang mulia itu.
                                                Kalau nak gugur gugurlah nangka,
                                                            Jangan terhempas di atas batu;
                                                Sebelum tidur melelapkan mata,
                                                            Datangkan rindu Tuhan Yang Satu.



WASIAT 13:
LAZIMI BERMUHASABAH DAN BERMUHAJADAH
“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa itu memperhatikan apa yang hendak dipersembahkannya untuk hari esok.”
                                                                                                Surah al-Hasyar: 18

Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Manusia tidak pernah sempurna. Sifat sempurna hanyalah milik Allah. Ini bermakna, sebagai insan, kita mempunyai kekurangan. Kita akan hanya sedar kekurangan kita apabila kita sentiasa muhasabah yakni menghisab diri. Proses menghisab diri adalah proses merenung ke dalam diri sendiri untuk menilai baik dan buruk akhlak dan amalan yang telah dilakukan. Yang koyak ditampal, yang putus dipintal, yang sumbing dibaiki dan yang tumpul ditajami.

Muhasabah adalah kerja orang-orang yang beriman. Kata  masyhur  terpantul dari mulut keramat Saidina Ali bin Abi Talib, "hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan". Inilah pesanan yang amat mendalam ertinya bagi setiap diri yang sedar akan kembali bertemu dengan Tuhan Rabbul Jalil. Masakan kita dapat membetulkan dan memperbaiki amalan kita sekiranya kita tidak pernah menyedari dan memikirkan khilaf dan salah kita. 

Anak-anak yang dikasihi sekalian,
Ayahanda berharap agar anak-anak selalu bermuhasabah. Ambillah masa lapang atau waktu hampir melelapkan mata untuk memikirkan tentang nasib dan hala tuju diri.
Kenalpasti kekurangan dan kelemahan diri kita. Fikir faktor-faktor dan jalan mengatasinya. Ambil langkah-langkah yang teratur untuk membaiki kelemahan itu. Yang pastinya, anak-anak remaja  perlulah  ada daya juang dan jihad untuk membaiki diri. Bukan senang kita mahu ubah sikap dan tabiat yang buruk. Sikap dan tabiat adalah set perlakuan yang sama yang telah dilakukan dalam jangka masa yang begitu lama. Akhirnya perlakuan itu melekat dan sebati dengan diri. Sukar untuk seseorang mengubahnya melainkan dengan mujahadah. Mujahadah bermakna kalian berjihad melawan nafsu dengan bersungguh-sungguh.  Kalian perlu ada kekuatan, keberanian dan keikhlasan untuk berhadapan dengan desakan dan tipudaya syaitan. Tanpa senjata ini, sukar bagi kalian untuk membaiki amalan dan akhlak. Oleh sebab sikap dan tabiat itu telah melalui proses yang lama, maka proses untuk mengubahnya juga terpaksa melalui jangka masa yang panjang. Justeru anak-anak mesti istiqamah atau tetap pendirian dalam melaksanakan perubahan diri.  Kata orang,”biarlah hari esok lebih baik daripada hari ini dan hari ini lebih baik daripada hari semalam”. Ayahbonda sentiasa mendoakan kebaikan yang melimpah-ruah untuk anakanda sekalian.

                                    Dahan sena bercabang dua,
                                                Tumbuh rendang di tepian mandi;
                                    Cantik molek zaman remaja,
                                                Iman dan akhlak di puncak budi.

WASIAT 14:

APAKAH YANG PENTING APABILA MENGINGATI KEMATIAN?

 

“Perbanyakkanlah mengingati mati kerana yang demikian itu akan mengurangkan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.”

                                                                                                            Sabda Nabi s.a.w.

Wahai anak-anak yang dikasihi sekalian,
Apabila kita mengingati mati, maka hati kita akan terus hidup kerana mengingati mati menyebabkan hati kita sentiasa mengingati Allah. Orang yang tidak mengingati Allah bermakna hatinya telah mati.

Apabila fikir hal mati, mungkin kita terfikir tentang bila dan bagaimana kematian kita. Bila dan bagaimana kematian kita bukanlah perkara yang perlu difikirkan.  Semua orang akan mati apabila tiba saatnya. Yang penting direnung dan difikirkan ialah adakah mati kita sama dengan doa yang sentiasa kita baca selepas solat. Antaranya, kita mohon kematian kita dimulakan dengan keampunan oleh Allah, mati bersama rahmat dan kasihsayang Allah,mati dalam keadaan Allah terima taubat kita dan mati yang dimudahkan Allah. Inilah yang kita perlu pastikan. Kalau kita hidup sehingga 100 tahun  pun dan mati dalam keadaan tidur pula, itu tiada gunanya  jika kita mati dalam dosa dan kemurkaan Allah.

Apabila kita memikirkan tentang mati yang dimulakan dengan keampunan, penerimaan taubat, rahmat dan kasihsayang Allah tadi, maka itulah dinamakan tazkirah hati dan muhasabah diri. Tugas kita ialah bekerja untuk mencapai mati seperti itu. Tanpa hati yang mulia dan amal yang banyak, suci dan ikhlas, sukar untuk kita mencapainya. Masakan Allah memberi kematian yang baik itu sedangkan kita kurang amal, ahli fasik[12] dan semasa hidup kita selalu meminggirkan Allah dari hati kita.

Justeru itu, mulalah beramal, bertaubat dan akrab dengan Allah. Cara hidup dan amal kita menggambarkan cara kematian kita. Apabila kita telah melakukannya, maka bolehlah kita letakkan harapan kepada Allah akan satu kematian yang baik. Ketahuilah bahawa kematian adalah salah satu fasa dalam perjalanan kita untuk bertemu dengan kekasih kita yang sebenar.  Bukankah itu indah kalau semasa hidup kita selalu memuja, memuji dan merindui KEKASIH kita? Fikirkanlah wahai anak-anak remajaku sekalian agar hidup kita selamat di dunia dan akhirat dan kita semua dapat berkumpul di dalam syurga Allah yang indah.

“Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan menghadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.”
                                                                        Surah al- An’am: 31

Katakanlah “(wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
                                                                                                Surah al-Kahfi: 110


[1] Iktikad = pegangan atas sesuatu kepercayaan
[2] Konservatif  = berpegang kepada fahaman lama, kuno
[3] Kontemporari  = waktu kini atau semasa
[4] Ironis  = secara halus, sindiran
[5] Kronik = sangat teruk
[6] Polemik = perbahasan tentang sesuatu isu
[7] Fatamorgana = bayangan yang palsu
[8] Maksum = terpelihara daripada dosa.
[9] Khaliq = Tuhan Yang Mana Mencipta.
[10] Justifikasi = alasan, hujah atas sesuatu tindakan.
[11] Kamalat = kesempurnaan
[12] Ahli fasik = orang yang berterusan dengan kerja-kerja maksiat.

No comments:

Post a Comment