VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Saturday, 24 August 2013

Pengembaraan Amir Misteri – Siri  9
 Halim Jadi Alim



           Malam Jumaat, biasa ramai orang mengunjungi surau Kampung Tualang Paya. Selalunya pada malam itu, selepas  membaca Yasin, hidangan diangkat untuk para jamaah. Inilah daya penarik bagi budak-budak untuk datang solat. Halim tidak melepaskan peluang ini. Dia akan sentiasa bersama Lokman, Daim dan Amirul ke surau utuk merasa kuih-muih dan pelbagai hidangan.

            Pada malam-malam yang lain, mereka jarang ke surau. Yang menyusahkan para jamaah ialah sikap  Halim dan kawan-kawannya itu. Mereka pergi ke surau bukan untuk bersembahyang walaupun mereka memakai baju Melayu dan bersongkok. Sebaliknya mereka bergurau di belakang saf orang tua yang sedang solat. Kadang-kadang ketika solat mereka ketawa. Dan sebelum orang tua beri salam, mereka awal-awal cabut lari. Masa makan mereka muncul semula. Tersengih-sengih.

         Suatu malam, Halim dan kawan-kawannya membuat bising di dalam surau. Kerana takut dimarahi, mereka cepat-cepat melarikan diri. Kemudian mereka bermain sembunyi-sembunyi. Mereka sering bermain berhampiran surau itu. Di situ terdapat lima buah rumah, sebuah wakaf dan semak-semak yang tumbuh bersama beberapa batang pokok pisang. Susana agak cerah kerana limpahan cahaya lampu jalan.

          Giliran Halim, Amirul, Rosham dan Malik bersembunyi. Lokman tukang cari. Halim sedang bersembunyi di belakang rumah Paksu Dolah. Manakala kawan-kawannya yang lain bersembunyi di tempat pilihan masing-masing. Amirul pilih belakang tandas surau. Bau hancing masuk ke dalam rongga hidungnya. Dia tak peduli asalkan Lokman tak akan dapat mencarinya di situ.

          Semasa asyik menyembunyikan diri, tiba-tiba tangan Halim dipegang orang. Dia amat terkejut lalu cuba melepaskan diri tetapi tidak berdaya. Dia tidak dapat melihat  wajah orang yang memegang tangannya dengan jelas. Orang yang sedang memegangnya hampir sebaya dengan dirinya. Yang anehnya,pegangannya agak kuat macam tangan orang dewasa.

        “Halim, mengapa engkau bermain ketika orang sedang bersembahyang?” tanya suara itu. Dengan suara yang terketar-ketar dia memberitahu bahawa dia tidak pandai bersembahyang.
  
       “Umur engkau sudah 12 tahun. Engkau telah belajar cara bersembahyang di sekolah. Oleh kerana engkau tidak mengamalkan sembahyang, maka ilmu itu hilang begitu sahaja. Sebab itulah kau tidak pandai membaca tasyahud dan tak tahu bilangan rakaat sembahyang.”

         Halim terkejut besar kerana orang yang sedang memegang tangannya itu tahu tentang kelemahan dirinya. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia terasa malu. Memang selama ini dia jarang sembahyang. Cuma pada malam Jumaat sahajalah dia tidak ponteng ke surau. Itu pun dia tidak sembahyang betul-betul. Dia lebih banyak ikut orang. Orang rukuk, dia rukuk, orang sujud, dia sujud. Rasa nak berhenti, dia berhenti. Nakal-nakal Daim, sempurna juga sembahyangnya. Halim takut ganggu Daim sembahyang. Dia pernah kena marah oleh Daim. Dia tidak takut pada Lokman dan Amirul sebab mereka dua kali lima sahaja.
  
        “Kalau engkau selalu bersembahyang, engkau akan pandai. Janganlah lagi bermain ketika orang sedang bersembahyang. Ikutlah betul-betul sehingga selesai. Kalau tidak tahu, tanyalah ibu bapa engkau atau orang tua. Insya- Allah engkau akan pandai. Saya pasti dalam masa sebulan engkau akan pandai solat dan jadi alim.”

        Tiba-tiba Halim rasa tangannya dilepaskan. Dia cepat-cepat  berlari ke atas surau. Dilihatnya orang sudah makan. Dia kebingungan lalu berlari pulang ke rumah. Dia tidak menghiraukan lagi Amirul yang mencarinya. Dia tidak peduli kawan-kawannya yang lain. Derbaran dalam dadanya masih terasa. Jantungnya berdegup tidak henti-henti. Laju dan mencemaskan.
  
        Di rumah, dia menceritakan segala-galanya kepada ibu dan bapanya. Adiknya mendengar sama cerita yang menarik itu. Mulut adiknya terlopong. Ibu dan bapanya buat biasa saja. Mereka menggunakan kesempatan itu untuk menasihati Halim. Mereka tidak mahu Halim bermain-main lagi di surau. Mereka harap Halim solat dengan rajin. Mereka mahu Halim minat belajar sembahyang.
  
       Mulai dari itu, Halim tidak lagi bermain ketika solat. Dia solat betul-betul. Kawan-kawannya juga diajaknya solat betul-betul. Dia juga sentiasa bertanya dan menghafal bacaan-bacaan solat. Bimbingan daripada ayah dan ustaznya didengar dengan bersungguh-sungguh. Kalau ayahnya ajak ke surau, dia tidak menolak lagi. Kini dia lebih suka berkawan rapat dengan Daim. Daim tahu kisah Halim dipegang orang. Lokman dan Amirul pun tahu. Namun kisah itu lama-lama hilang begitu saja.

             Akhirnya tidak sampai sebulan dia dan kawan-kawannya telah dapat bersembahyang dengan betul. Dia berasa seronok pula apabila dapat solat berjamaah. Mereka tidak lagi bermain-main ketika orang sedang bersembahyang. Malah mereka pula menjadi orang harapan untuk azan dan membersihkan surau.

            Kini Halim sudah jadi tukang azan kerana suaranya merdu.. Ibu bapa dan orang kampung merasa bertuah kerana mempunyai seorang budak yang bersuara lunak. Seluruh penduduk kampung rasa gembira kerana perangai mereka berubah. Diri mereka kini menjadi contoh kepada kanak-kanak dan para remaja lain di kampung itu. Penduduk Kampung Tualang Paya tertarik juga akan peristiwa Halim dipegang orang. Hantukah atau jin Islamkah? Kata Pak Imam Zaki, mungkin jin Islam. Ah, Amir Misteri tak kisah. Yang penting bagi Amir ialah Halim dan budak-budak nakal sudah berubah dengan usahanya. Biarlah orang tidak mengenalinya. Biarlah orang tak tahu asal-usulnya. Namun suara dan nasihatnya telah masuk ke dalam telinga Halim dengan baik.

           Semua orang tidak mengambil kisah lagi tentang makhluk yang memegagang tangan Halim. Cuma Halim sahaja yang teringat akan peristiwa itu sekali-sekala. Tetapi dia tidak merasa takut lagi kerana dia percaya budak itu seorang yang baik hati.

           Amir Misteri telah berjaya dalam misinya. Dia cukup berbangga dan bersyukur kerana Halim kini sudah jadi alim.






No comments:

Post a Comment