VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Sunday, 7 July 2013

6 ADAB BERPUASA

AMALKAN 6 ADAB PUASA

MENJAMIN HIKMAH DAN RAHSIANYA


Hikmah dan rahsianya berpuasa tidak akan diperolehi sekiranya tidak dipelihara adab-adab puasa dengan sebaik-baiknya. Maka adab-adab puasa itu antaranya ialah:
PERTAMA:
Menjauhkan diri daripada segala bentuk perkara yang merosakkan pahala puasa, menjauhkan diri daripada mengumpat, mencela, mencaci, menista dan seumpamanya. Diriwayatkan oleh Al-Thabrani dari Abu Ubaidah bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Puasa itu Junnah ( perisai ) selama ia tidak dirosakkan dengan dusta dan umpat”  
Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Abu Hurairah dan Al-Thabrani dan Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda:
“Beberapa ramai orang yang berpuasa, hasil yang diperolehi daripada puasanya hanyalah lapar dan dahaganya sahaja. Dan berapa orang yang sembahyang malam, hasil yang diperolehi darinya hanyalah berjaga malam sahaja.”

KEDUA:
Mengurangkan makan dan minum sewaktu berbuka dan bersahur. Orang yang berpuasa tidak akan dapat faedah berpuasa apabila gelojoh sewaktu berbuka dan sewaktu bersahur. Penyediaan makanan yang berlebihan dan lebih istimewa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain, membuka ialah jalan untuk menambah selera dan memenuhi hawa nafsu. Maka puasa tiada lagi berfungsi sebagai pemotong hawa nafsu atau mematahkan syahwat yang berlebihan. 
KETIGA:
Mengurangkan tidur  terutama di siang hari. Kebanyakan antara kita mencari-cari jalan untuk tidur agar tidak keletihan berpuasa. Ini boleh menghilangkan rahsia dan hikmah puasa yang sebenarnya. Sepatutnya, keletihan dan kesusahan yang harus kita harungi dan kita hayati.
KEEMPAT:Menahan hati daripada memikirkan keinginan–keinginan yang remeh dan urusan–urusan yang tidak baik. Kita juga kerap memikirkan persediaan-persediaan menyambut hari raya yang kadangkala lebih banyak diselaputi kemewahan. Sepatutnya puasa mendorong kita menghindari sikap itu.
KELIMA:
Sentiasa memikirkan azab akhirat dan memikirkan seksa neraka. Hendaklah kelaparan dan kehausan itu mengingatkan kita tentang kelaparan dan kehausan ahlul mahsyar pada hari akhirat yang sangat dahsyat.
KEENAM:
 Mencambahkan rasa cemas dan berharap kepada keampunan dan kasih sayang Allah Taala. Kita tidak mengetahui sama sekali, apakah puasa kita diterima oleh Allah atau ditolak. Puasa tanpa adab dan tatasusila samalah ertinya kita makan tanpa zat dan khasiat.
Ditulis oleh Ruzain Syukur Bin Mansor. Posted in Tazkirah

No comments:

Post a Comment