VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Tuesday, 30 July 2013

PENGEMBARAAN AMIR MISTERI - SIRI 3



                                  "Baju Raya Ana"
- karya Cikgu Mohd Zor Ali



           
            Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tiba. Kawan- kawan Ana nampak ceria. Mereka seronok untuk menyambut hari kebesaran Islam itu. Baju baru dan duit raya menjadi kebanggaan mereka. Mereka suka berjalan- jalan bersama kawan-kawan ke rumah saudara mara dan jiran tetangga. Apalagi apabila dijamu dengan ketupat, sate dan kuih muih. Bulatlah perut dibuatnya.

            Namun hati Ana menjadi hiba. Dia anak nelayan sungai. Rumahnya tidak seindah rumah kawan-kawannya. Siapalah yang sudi berkunjung ke rumahnya. Malah dia rasa malu kalau kawan- kawan datang ke rumahnya yang beratap rumbia. Apalah yang dapat dihidangkan oleh ibunya.

       
          “Ayah saya dah beli tiga pasang baju raya untuk saya. Cantik- cantik tau” Azimah menceritakan tentang baju rayanya kepada Ana. Kemudian Fatin dan Syahadah pula berkongsi cerita tentang pakaian raya masing- masing. Ana cuma mendengar telatah kawan-kawannya. Mukanya dibuat-buat ceria namun hatinya Tuhan sahaja yang tahu.

           Ana tahu bahawa dia anak miskin. Pendapatan ayahnya daripada hasil menjual ikan tidak seberapa. Sekadar cukup untuk membeli beras dan gula. Kadang-kadang ada juga jiran yang sudi membantu. Guru-gurunya sering juga menghulurkan bantuan untuknya. Mereka tahu Ana anak nelayan. Pakaian Ana tidak semahal pakaian murid-murid lain. Dengan bantuan daripada jiran-jiran dan guru-guru dapatlah sekali-sekala membeli pakain dan buku-buku.
  
          Untuk menyambut hari raya yang menjelang tiba, dia belum ada pakaian baru seperti kawan-kawannya. Mungkin dia terpaksa berhari raya dengan pakaian raya tahun lepas sahaja. Dia tahu baju raya tahun lepas sudah buruk kerana selalu dipakainya. Tentulah nanti dia tidak layak berhari raya bersama-sama Azimah, Fatin dan Syahadah.

            Mengenangkan hal itu, air mata Ana mula mengalir. Air matanya menitis ke dalam sungai ketika dia sedang membasuh pakaian. Dia sering menolong ibunya. Kadang-kadang menolong ibu membasuh pinggan mangkuk. Kadang-kadang dia ke sungai itu dengan membawa sebaldi pakaian kotor. Walaupun miskin, Ana mempunyai akhlak yang baik. Dia rajin menolong ibu tanpa membantah. Dia tiada harta cuma akhlak yang mulia itulah hartanya.

            “Jangan menangis Ana” tegur Amir Misteri dari belakang. Bukan main terkejut lagi Ana. Dia mengesat air matanya sambil memandang ke arah Amir dengan rasa curiga. Ingin sahaja dia lari dari situ tetapi terasa berat kakinya. Dia ingin memekik meminta tolong tetapi tidak berdaya.

            “Awak siapa?” Tolong jangan ganggu saya” pinta Ana. Dia berhenti memberus baju sekolahnya. Dia berdiri sambil berwaspada. Namun kawasan sekitar yang sunyi itu menambah rasa takut Ana. Rumpun buluh dan semak-samun bagai mengepung perasaan Ana. Ana mati akal. Amir cuba menenangkannya. Dia memandang Ana dengan wajah yang terserlah
kejujuran.
  
           “Saya Amir. Bukan tujuan saya untuk mengganggu awak. Saya cuma ingin menolong awak,”ujar Amir . Tangannya menjinjing sebuah beg plastik yang cantik.

           Ana hairan. Siapakah budak yang mendakwa ingin menolongnya ini? Bagaimanakah tiba-tiba budak ini berada di tebing sungai ini? Dari raut wajahnya, budak ini nampak macam orang baik-baik. Benarkah dia ingin menolong aku? Apakah pertolongan yang dapat diberikannya? Hati Ana terus berkata-kata sambil tangannya mengesat air mata yang mengalir di pipinya tadi.

           “Kemuliaan seseorang manusia bukan terletak pada pakaian atau harta. Kelakuan yang baiklah menjadi permata kehidupan. Manakala kesusahan yang dirasa adalah sebagai panduan untuk membantu orang susah apabila kita senang” Amir cuba memujuk hati Ana. Kata-kata Amir yang bagai isi-isi pidato itu memukau perhatian Ana.

          “ Aku tak faham mengapa kau memujuk aku,” kata Ana cuba mendapatkan penjelasan. Rasa pilu di hati Ana hilang entah ke mana dihalau oleh kehadiran Amir Misteri. Lamunannya sebentar tadi tentang baju raya yang masih belum dibeli oleh ayah hilang entah ke mana bagai dibawa jauh oleh air sungai yang mengalir tak henti-henti.

           “Aku tahu kau menangis kerana kemiskinan keluargamu. Kau malu kepada kawan- kawanmu kerana tidak ada baju raya yang cantik. Kau malu untuk berhari raya bersama mereka. “

          Kehairan Ana makin memuncak. Dia hairan bagaimana Amir tahu masalah yang ditanggungnya. Adakah Azimah menceritakan kisah dirinya kepada budak ini? Ana terus berteka-teki. Mustahil. Azimah seorang kawan yang jujur. Sudah bertahun-tahun dia dan Azimah berkawan. Walaupun Azimah anak seorang yang berada, dia tidak pernah sombong dan besar diri, bisik hati Ana.

         “Nah, ambillah hadiah dariku ini.”.
          Amir menghulurkan beg plastik yang telah lama dijinjingnya. Ana keberatan untuk menerima pemberian itu. Mana boleh dia menerima pemberian orang yang tidak dikenali begitu sahaja. Mungkin ini satu perangkap agaknya atau ada udang di sebalik batu.

         “Ambillah. Hari ini awak susah, saya tolong awak. Apabila awak besar dan senang nanti, awak tolong pula orang lain. Nah, ambillah!”
  
       Ucap Amir termakan oleh Ana. Besar kemungkinan Amir ikhlas ingin menolongnya. Dengan teragak-agak Ana menyambut pemberian itu. Selepas bungkusan itu diambil oleh Ana, Amir Misteri meminta izin untuk beredar dari situ. Ana tidak sempat mengucapkan terima kasih kerana dia rasa bingung. Lagi pun dia masih belum tahu apa yang ada dalam beg plastik itu.

              Apabila bungkusan itu dibuka, Ana terkejut kerana terdapat dua pasang baju kurung yang cantik. Dalam lipatan itu pula terdapat sepasang kasut merah jambu serta sekeping kad raya.

             “Belajarlah rajin- rajin agar kau dapat merubah nasib keluargamu. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Amir.” Demikianlah isi kandungan kad itu.Ana terpegun. Matanya mencari-cari kelibat Amir. Dia ingin berterima kasih kepada Amir. Tetapi Amir entah ke mana. Dipeluk dan diciumnya baju yang cantik itu. Sekuntum senyuman berseri-seri di wajahnya.  Dapatlah dia berhari raya bersama-sama kawan-kawannya nanti.

                       Ana tidak dapat meneruskan kerjanya. Pakaian yang telah diberus dimasukkan sahaja ke dalam baldi. Dia akan basuh kemudian. Dia mahu pulang segera untuk menceritakan kepada ibunya tentang pemberian Amir itu. Tetapi bagaimanakah  dia akan menceritakannya? Percayakah ibunya nanti? Entahlah. Apa pun, kesedihannya ternyata hilang diganti oleh satu perasaan gembira. Bolehlah nanti dia berhari raya bersama-sama kawan-kawannya.
  

No comments:

Post a Comment