VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Sunday, 29 September 2013

WASIAT UNTUK REMAJA

UTAMAKAN SOLAT, UTAMAKAN ISLAM


“Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertakwa kepadaNya dan Dialah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).”

                                                                                Surah al-An’am: 72

"Wahai orang yang beriman ! masuklah kamu ke dalam keamanan (agama Islam) dengan sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan." Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.”

                                                                              Surah al-Baqarah: 208

Putera-puteri yang dirahmati Allah sekalian,

Ingatkah lagi kalian akan lagu sepohon kayu yang sering dinyanyikan. Hayati senikatanya:

                        Sepohon kayu daunnya rimbun

                        lebat bunganya serta buahnya

                        walaupun hidup seribu tahun

                        kalau tak sembahyang apa gunanya.

Dalam pesanan kali ini, ayahanda ingin berbicara tentang keutamaan solat ini dan Islam yang kita anuti.

"Utamakan Solat , Utamakan Islam" bermaksud bahawa kita hendaklah mendahulukan solat daripada segala kerja buat dan urusan hidup yang lain. Sepenting mana pun urusan hidup itu, penting lagi urusan solat yang mengesahkan kehambaan kita kepada Allah s.w.t. Setinggi mana penting pun hal-hal keduniaan, tinggi lagi kepentingan meletakkan Islam di persada hati dan amalan kita.

 Dalam kehidupan harian kita, masa sangat penting dan kadang-kadang terbatas. Kita dikejar aktiviti dunia yang ada ketikanya menjadi padat. Di samping itu, adakalanya badan kita dicengkam keletihan akibat daripada kehilangan tenaga yang banyak setelah menjalani aktiviti harian.

Dalam keadaan-keadaan tersebut, solat kita 'tercabar'. Tercabar dalam erti kata kemungkinan kita tidak solat, tidak khusyuk atau melengah-lengahkan solat sehingga hujung waktu. Ini adalah satu implikasi[1] yang perlu kita sedari agar kita sentiasa beringat dan berhati-hati. Solat jangan dijadikan mangsa kepada kepadatan aktiviti dunia dan keletihan fizikal. Walau apa sekalipun, sibuk atau letih, kita mesti solat dengan sempurna yakni khusyuk dan pada awal waktu. Dalam dada kita, mesti segar slogan yang sepatutnya bukan menjadi retorik[2],  iaitu "Utamakan Solat".

Begitu juga dalam dalam urusan kehidupan yang lain. Sama ada kita memilih, mengamal, menyokong atau berjuang, kita mestilah mengutamakan yang mana selari dengan Islam. Apabila bertembung sesuatu dengan kepentingan diri, kita mestilah dahulukan tuntutan Islam. Hatta apabila bertembung kepentingan menyelamatkan diri dengan menyelamatkan Islam, maka mestilah kita utamakan untuk menyelamatkan Islam. Dalam hal lain seperti memilih makanan, kita utamakan buatan umat Islam yang suci dan halal. Dalam memilih perjuangan, kita pilih gerakan yang memperjuangkan Islam. Dalam memilih sahabat, kita pilih sahabat yang mencintai dan beramal dengan Islam. Dalam memilih pakaian dan fesyennya, kita memilih pakaian atau fesyen yang mana menepati kehendak Islam. Demikianlah halnya dalam segala urusan kehidupan. Islam mesti didahulukan. Maka tegakkan juga slogan "Utamakan Islam " dalam diri  kita sehingga sebati membentuk jatidiri.

Para remajaku yang dikasihi,
Ingatlah pesan ayahanda di atas kerana sesungguhnya dua perkara tersebut sangat  penting dalam hidup kita; hidup yang berjaya di dunia menjadi jambatan  untuk kesinambungan kebahagiaan di akhirat nanti.

“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”
                                                                                   
                                                                                    Surah al-Baqarah: 132




[1] Implikasi = kesan
[2] Retorik = kata-kata indah untuk menyedapkan hati

Wednesday, 25 September 2013

Cerita lawak yang tak berapa lawak

Pagi itu pagi minggu. Cuaca cukup sejuk sehingga mencapai takat suhu beku. Sebab itu saya tidak mandi pagi sebab air kolah jadi air batu dan air paip tidak mahu keluar sebab beku di dalam batang paip. Pagi itu saya bersarapan dengan keluarga di dalam unggun api kerana tidak tahan sejuk. Selepas itu emak saya mengajak saya menemaninya ke pasar. Tetapi saya tidak mahu.
Selepas emak menikam perut saya berkali-kali dengan garfu barulah saya bersetuju untuk mengikutnya. Kami berjalan sejauh 120 kilometer kerana pasar itu letaknya 128 kilometer dari rumah. Lagi 8 kilometer nak sampai pasar saya ternampak sebuah lori kontena meluru dengan laju dari arah belakang.
Dia melanggar emak saya. Emak saya tercampak ke dalam gaung. Dia menjerit “Adoi!”. Lepas itu emak saya naik semula dan mengejar lori tersebut. Saya pun turut berlari di belakang emak saya kerana takut emak saya melanggar lori itu pula. Pemandu lori itu nampak kami mengejarnya. Dia pun memecut lebih laju iaitu sama dengan kelajuan cahaya. Kami pula terpaksa mengejar dengan lebih laju iaitu sama dengan dua kali ganda kelajuan cahaya. Emak saya dapat menerajang tayar depan lori itu. Lori itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah feri. Feri itu terbelah dua.
Penumpang feri itu yang seramai 100 orang semuanya mati. Pemandu feri itu sangat marah. Dia pun bertukar menjadi Ultraman dan memfire pemandu lori. Pemandu lori menekan butang khas di dalam lori dia..lori itu bertukar menjadi robot Transformer. Mereka bergaduh di udara. Emak saya tidak puas hati. Dia pun terus menyewa sebuah helikopter di Genting
Highlands dan terus ke tempat kemalangan. Dia melanggar pemandu feri yang telah bertukar menjadi Ultraman itu.
Pemandu feri itu terkejut dan terus bertukar menjadi pemandu feri semula lalu terhempas ke jalanraya. Pemandu feri itu pecah. Pemandu lori sangat takut melihat kejadian itu. Dia meminta maaf dari emak saya. Dia menghulurkan tangan ingin bersalam. Tetapi emak saya masih marah. Dia menyendengkan helikopternya dan mengerat tangan pemandu lori itu dengan kipas helikopter. Pemandu lori itu menjerit “Adoi..!” dan jatuh ke bumi. Emak saya menghantar helikopter itu ke Genting Highlands. Bila dia balik ke tempat kejadian, dia terus memukul pemandu lori itu dengan beg tangannya sambil memarahi pemandu lori itu di dalam bahasa Inggeris.
Pemandu lori itu tidak dapat menjawab sebab emak saya cakap orang putih. Lalu pemandu lori itu mati. Tidak lama kemudian kereta polis pun sampai. Dia membuat lapuran ke ibu pejabatnya tentang kemalangan ngeri itu. Semua anggota polis di pejabat polis itu terperanjat lalu mati. Orang ramai mengerumuni tempat kejadian kerana ingin mengetahui apa yang telah terjadi. Polis yang bertugas cuba menyuraikan orang ramai lalu dia menjerit menggunakan pembesar suara. Orang ramai terperanjat dan semuanya mati.
Selepas itu emak saya mengajak saya ke pasar untuk mengelak lebih ramai lagi yang akan mati. Di pasar, emak saya menceritakan kejadian itu kepada penjual daging. Penjual daging dan peniaga-peniaga berhampiran yang mendengar cerita itu semuanya terkejut dan mati. Saya dan emak saya terus berlari balik ke rumah. Kerana terlalu penat sebaik saja sampai di rumah kami pun mati. Itulah kemalangan yang paling ngeri yang pernah saya lihat sebelum saya mati.

TAMAT
DITERBITKAN OLEH : IZZA NAZIRA

ANIS IZATY BINTI AHMAD ZAMRI, 5 AMANAH, SK PUSAT KEMAMAN

Monday, 23 September 2013

MAIN TEKA-TEKI


1. Haiwan apakah yang paling tidak sopan?
 
2.  Seorang lelaki memakai pakaian serba hitam, seluar hitam, kasut hitam, sarung kaki hitam, sarung tangan hitam, dan kacamata hitam. Ia berjalan di sebuah lorong hitam. Seluruh lampu di lorong itu padam. Kemudian, sebuah kenderaan berwarna hitam dengan lampu yang juga padam meluncur memasuki lorong. Namun tepat di depan lelaki itu kenderaan berhenti. Bagaimana mungkin pemandu kenderaan itu boleh melihat lelaki serba hitam itu?
 
3. Gajah lalu titi patah, lepas tu kambing pula lalu. Apa yang patah pulak?


 

Sunday, 22 September 2013

Peribahasa Besar Kepala

Besar Kepala
Maknanya:Sombong.
Contoh ayat:Dia dianggap besar kepala dan tidak pernah mahu tolak ansur.

Daripada:Muhammad Shakeer
Kelas:5Fatanah
Sekolah:Sekolah Kebangsaan Pusat

Saturday, 21 September 2013

Kehidupan : Nilai Manusia Bukan Pada Nombor


Profesor saya pernah berpesan kepada semua pelajar, “Your grades do not determine your self-worth.” Keputusan peperiksaan anda tidak menentukan nilai anda sebagai seorang individu.

Kata-kata itu amat bermakna bagi pelajar-pelajar yang mendengarnya, lebih-lebih lagi apabila kata-kata itu datang daripada seorang professor daripada sebuah universiti (University of Toronto) yang begitu mengiklankan pencapaian akademik para pelajarnya.
Kata-kata itu sedikit sebanyak dapat menenangkan hati gelisah para pelajar dan mengubah fokus pelajar daripada nombor-nombor atas slip keputusan mereka kepada perkara yang lebih penting iaitu penghayatan ilmu.
Malangnya, itu bukanlah realiti kehidupan pelajar dalam sistem pendidikan yang begitu mementingkan nombor dan abjad. Hakikatnya ialah, sepertimana yang difahamkan daripada kata-kata profesor saya itu, ramai pelajar yang menganggap bahawa keputusan peperiksaan mereka itu adalah kayu ukur kepada nilai diri mereka sebagai manusia di atas muka bumi ini.
Ini adalah salah satu sebab mengapa begitu ramai pelajar yang tertekan sehingga ada yangclinically depressed apabila tidak mendapat keputusan yang diingini. Lebih menyedihkan lagi ialah ada yang tertekan sebelum mengambil peperiksaan lagi. Semuanya kerana mereka menganggap seluruh hidup mereka bergantung kepada nombor di atas kertas – keputusan peperiksaan.
Kita tidak boleh salahkan para pelajar kerana berfikir begitu kerana sistem yang sedang mereka lalui sekarang meletakkan keputusan peperiksaan sebagai kayu ukur kecemerlangan insan. Jika anda tidak mencapai standard, maka anda tidak cemerlang.
Apakah moral yang ingin diterapkan dalam diri para pelajar dengan budaya sebegini?
Obsesi kita dengan nombor ini bukan sahaja wujud dalam sistem pendidikan, tetapi ia wujud di mana-mana sahaja. Contohnya, dalam dunia laman sosial.
Di Facebook, kita berebut-rebut untuk mendapat “like” terbanyak. Lagi banyak “like”, lagi tinggi nilai diri. Di Twitter, kita berebut-rebut untuk mendapat “followers”. Lagi banyak “followers’, lagi tinggi nilai diri. Di Youtube, kita berebut-rebut untuk mendapat “views”. Lagi banyak “views”, lagi tinggi nilai diri.
Ada yang begitu obsess dengan nombor-nombor ini sehinggakan mereka sanggup bayar untuk meningkatkan nombor mereka. Baru-baru ini, Facebook menjual “likes” kepada admin-admin Facebook page supaya mereka dapat meningkatkan “likes” di Facebook page mereka.
Obsesi ini sudah menjadi satu kegilaan. Ia tidak jauh bezanya dengan kita berebut-rebut untuk mendapat A terbanyak, CGPA tertinggi, dan markah tertinggi. Ada yang begitu obses sehingga mereka tidak peduli sama ada cara untuk mendapat nombor tersebut sah ataupun tidak. Asalkan mereka dapat apa yang diingini, maka mereka gembira.
Keputusan peperiksaan ada kepentingannya, tetapi ia tidak ada kaitan dengan nilai keseluruhan seseorang individu. Kalau anda tidak cekap dalam satu perkara, itu tidak bermakna anda tidak cekap dalam semua perkara.
Islam jelas prinsipnya dalam hal ini. Islam tidak menekankan kepada manusia untuk obses kepada keputusan akhir. Islam tekankan supaya bersihkan niat, cuba yang terbaik, dan tawakal kepada Allah.
Walau apapun keputusan akhirnya (sama ada menepati keinginan diri ataupun tidak), seorang Muslim itu akan tetap bersyukur kerana pahala daripada Allah tidak bergantung kepada keputusan akhir, tetapi ia bergantung kepada niat dan usaha. Allah menghargai usaha kita, bukan keputusan akhir kita.
(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”. [Surah al-Insan: 22]
Saya lihat kata-kata profesor saya itu ada unsur-unsur Islamiknya, walaupun beliau bukanlah seorang Muslim. Beliau faham bahawa keputusan peperiksaan tidak sepenting usaha dan penghayatan ilmu. Saya kagum dengan persepsinya yang tidak dicemari dengan obsesi nombor.
Your grades do not determine your self-worth.” ~ Professor Dax Urbszat, Psychology.

Dipetik daripada : Langit Ilahi
Dinukilkan oleh : Bro Aiman Azlan, University of Toronto, Canada
Daripada : Muhammad Zahiruddin bin Md. Zaharil | 5 Amanah | SK Pusat

Friday, 20 September 2013

seorang anak seharusnya mendengar arahan dan kata-kata ibu bapa mereka selagi tidak melanggar hukum syarak.

Dipetik daripada:ustshah.blogspot.com
Daripada:Muhammad Arif Solihin Bin Mohd Syukri Kelas:5AmanahSekolah:Sekolah Kebangsaan Pusat

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Thursday, 19 September 2013

Surat Tidak Rasmi:Musim Buah-Buahan

                                                                                                                               No1,Lorong 2
                                                                                                                               Taman Tambun,
                                                                                                                               14000 Simpang Ampat,
                                                                                                                               Seberang Perai Selatan,
                                                                                                                               Pulau Pinang.
                                                                                                                               1 Januari 2012.

             Menemui kakandaku yang disayangi dan dirindui yang kini berada di Kota London dengan selamatnya.

Kakandaku,
            Apa khabar kakanda di sana ? Adinda dan keluarga di sini sihat walafiat. Diharap, keadaan kakanda juga begitu.
            Untuk pengetahuan kakanda, warkah yang kakanda kirimkan telah selamat adinda terima tempoh hari dan faham akan isi kandungannya. Tujuan adinda menulis warkah ini adalah untuk menceritakan mengenai musim buah-buahan seperti yang kakanda tanyakan dalam warkah tersebut.
            Syukurlah, musim buah-buahan pada kali ini sungguh menjadi. Pokok buah-buahan di dusun datuk berbuah lebat. Buahnya juga elok dan bermutu tinggi. Durian, manggis, mangga, rambutan dan langsat sudah mulai masak.
             Datuk mengambil kesempatan menjual sebahagian daripada buah-buahan tersebut di pasar malam. Datuk mendapat hasil yang lumayan. Ada juga kenalan-kenalan datuk dari pelbagai tempat memesan pelbagai jenis buah untuk dibeli daripada datuk.
             Adinda juga berpeluang membantu datuk mengutip buah-buahan di dusunnya selepas pulang dari sekolah. kadang-kadang geli hati juga adinda mendengar omelan datuk yang terlalu bimbang apabila adinda memanjat pokok rambutannya yang rendang untuk memetik buah rambutan. Tentu suasana di sini menjadi lebih meriah jika kakanda ada bersama.
            Sampai di sini sahaja warkah adinda untuk kali ini. Waktu pun sudah hampir menjelang tengah malam. Adinda mendoakan agar kakanda berjaya dengan cemerlangnya dalam pelajaran kakanda. Semoga kita berjumpa lagi dalam lembaran yang lain pula.
             Sekian, terima kasih. Adinda sudah mengantuk. Adinda berharap kakanda pulang segera. Sekian, terima kasih.
                                                                                                                                Yang benar,
                                                                                                                                 &&&&&&

Penulis:Cikgu Nik                                                                          Pengirim:Ahmad Syirhan 5A

Penduduk Kedah Asalnya Dari Gergasi?

Diterbitkan Oleh : Abdul Ghani Az
Dikirim Oleh : Anis Izaty Binti Ahmad Zamri , Kelas : 5Amanah , Sekolah ; Sekolah Kebangsaan Pusat Kemaman (SKP)


Sejarah awal negeri Kedah amat rumit sekali hendak diketahui orang. Kerana mengikut dari sumber-sumber yang boleh dipercayai seperti dari buku-buku Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah bahawa negeri ini telah dibuka kira-kira seratus tahun sebelum dari Nabi Muhammad dilahirkan, iaitu kira-kira dalam tahun 470M, atau kira-kira seribu tahun terdahulu dari pembukaan kerajaan Melayu Melaka.
Ianya sezaman dengan tumbuhnya lain-lain kerajaan di benua Asia seperti Kerajaan P'an P'an, Hunan, Cenla dan Campa yang sekarang telah hilang namanya dalam sejarah dan berganti dengan nama-nama kerajaan yang baru pula.
Memandang masa yang begitu lama, tentulah ahli-ahli sejarah tidak dapat memberi keterangan lanjut dan tarikh yang tepat mengenai sejarah negeri itu.
Mengikut Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), penduduk asal negeri Kedah (Pulau Serai) ialah keturunan gergasi. Manakala raja pertama pula ialah Merong Mahawangsa sendiri yang berasal dari indera kayangan dan bersahabat baik dengan raja Rom. Ketika Merong Mahawangsa mengiringi Putera Raja Rom untuk berkahwin dengan Puteri China, angkatan mereka telah karam dibinasakan oleh burung geruda yang telah bersumpah sebelum itu dengan Nabi Allah Sulaiman a.s. untuk menggagalkan perkahwinan kedua anak raja itu.
Bila angkatan itu binasa, masing-masing membawa diri. Merong Mahawangsa berusaha untuk menyelamatkan Putera Raja Rom itu tetapi gagal. Akhirnya Merong Mahawangsa sampai di Pulau Serai (Kedah) dan dilantik menjadi raja kepada kaum gergasi yang mendiami pulau itu. Pulau Serai itulah dipercayai Gunung Jerai yang ada sekarang ini. Agaknya kawasan tanah rendah di persekitaran gunung itu belum lagi timbul dari aras laut. Dari keturunan Merong Mahawangsa inilah terus menerus memerintah negeri Kedah sampai sekarang ini.
Ada enam orang raja sebelum negeri Kedah menerima agama Islam. Mereka itu ialah Raja Merong Mahawangsa, Raja Ong Mahapudisat, Raja Seri Mahawangsa, Seri Maha Inderawangsa, Raja Ong Maha Perita Deria (Raja Bersiong), Raja Phra Ong Mahapodisat dan Raja Phra Ong Mahawangsa iaitu raja yang mula-mula menerima agama Islam dengan gelaran Sultan Mudzaffar Syah.
Menurut tawarikh Siam pula, susunan raja sebelum menerima agama Islam adalah seperti berikut; pertama - Phra Ong Mahawangsa, kedua - Phra Ong Mahapodisat, ketiga - Seri Mahawangsa, keempat - Sri Maha Inderawangsa, kelima - Phra Ong Maha Yatidahara, keenam - Phra Ong Mahapodisat dan ketujuh - Phra Ong Mahawangsa iaitu Sultan Mudzaffar Syah (sultan yang mula-mula menerima agama Islam).
Bagaimanapun, jika dibandingkan antara buku-buku tersebut nyatalah At-Tarikh Salasilah negeri Kedah lebih sesuai dijadikan rujukan sejarah. Ramai pengkaji-pengkaji sejarah Kedah yang merujuk buku tersebut kerana buku HMM dan Tawarikh Siam merupakan buku hikayat cuma yang lebih banyak mengaitkan dengan kisah-kisah dongeng dan tidak mempunyai faktor-faktor yang dapat dipegang oleh mereka terutama dari segi tarikh.
Buku HMM lebih sesuai dikatakan sebagai buku hikayat sahaja dan bukannya buku sejarah. Bagaimanapun buku tersebut digunakan juga untuk dibuat perbandingan terutama tentang nama-nama raja yang memerintah.
Dalam HMM, cuma ada tercatat tujuh orang raja sahaja yang memerintah negeri Kedah sebelum menerima Islam, begitu juga Tawarikh Siam, sementara di dalam buku At-Tarikh ada tercatat sembilan orang raja. Bagaimanapun, cuma ahli sejarah sahaja yang dapat memberi kenyataan yang sebenar.
Mengikut At-Tarikh karangan Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad bahawa penduduk awal negeri Kedah bermula dari pelarian penduduk tanah Jawa yang datang kira-kira seratus tahun sebelum keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. di Mekah. Pelarian itu bukan sahaja tertumpu khusus ke negeri Kedah saja, malahan bertaburan di sepanjang pantai semenanjung Malaysia yang ketika itu lebih terkenal dengan nama Tanah Segara Masin. Orang-orang pelarian itu dipanggil 'Melayu' bererti lari.
Perpindahan atau pelarian itu berlaku bukanlah bertujuan untuk mencari-cari tempat baru tetapi adalah bagi menyelamatkan nyawa setelah negeri mereka (tanah Jawa) diserang oleh bangsa Hindustan yang berbahasa Sanskrit dan beragama Hindu.
Di Kedah, tempat yang menjadi tumpuan ialah di persekitaran kaki Gunung Jerai, mungkin ketika itu pantai kerana waktu pelayaran masing-masing menjadikan puncak Gunung Jerai itu sebagai pedoman.

Cerita Dongeng Burung Garuda


Diterbitkan Oleh : James F. Augustin
Dikirim oleh : Anis Izaty , Kelas : 5Amanah , Sekolah : Sekolah Kebangsaan Pusat Kemaman (SKP)

Mengikut cerita dongeng dalam Hikayat Merong Mahawangsa atau "Sejarah Kedah" dimulai dengan taufan yang membubarkan angkatan laut yang mengiring anak Raja Rom dalam pelayarannya ke Benua Cina disebabkan oleh seekor burung garuda (dewa Hindu, sebahagian manusia dan sebahagian burung).
Burung garuda ini kononnya duduk berseorangan di Pulau Langkawi selepas peperangan Pyrhic di antara Sri Rama Vishnu dengan Hanuman (dewa Monyet) yang telah membinasakan pulau itu.
Pada suatu hari datanglah seekor burung rajawali berjumpa burung garuda itu dan memberi perkhabaran kata anak Raja Rom sedang bersiap hendak berangkat ke Benua Cina dan di sana, ia akan berkahwin dengan seorang puteri Raja Cina. la mendapat perkhabaran ini dari seekor burung kakak tua yang menyatakan juga angkatan Raja Rom sangat besar untuk mengiring bakal pengantin itu.
Maka, apabila burung garuda mendengar cerita, itu ia berazam hendak menahan perkahwinan itu daripada terjadi, tetapi sebelum ia berbuat demikian, ia hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman terlebih dahulu.
Semasa menghadap Nabi Allah Sulaiman, burung garuda memaklumkan kepada baginda akan perkahwinan itu tidak harus terjadi kerana kedua-dua anak Raja itu tinggal berjauhan.
Nabi Allah Sulaiman bersabda jika sudah ada jodoh pertemuan di antara ke­duanya tiada sesiapa dalam dunia ini berkuasa boleh menahannya.
Burung garuda itu menjawab ia hendak menahan perkahwinan itu daripada berlaku. Jika tidak berjaya, ia akan berundur dari dunia ini.
Burung garuda itu pun bermohon lalu terbang ke Benua Cina dan berjanji akan balik menghadap menceritakan kesudahannya. Sesampainya di Benua Cina, ia pun menyambar Puteri Raja Cina itu dengan kukunya bersama dengan dayang dan kundangnya lalu diterbangkan ke Pulau Langkawi. Di sini, puteri dengan dayang dan kundangnya diletakkan dalam sebuah mahligai.
Sementara itu, angkatan laut anak Raja Rom pun berlayar di bawah perintah Raja Merong Mahawangsa. Ayah Merong Mahawangsa ini ialah keturunan indera-­indera dan bondanya berasal dari dewa-dewa raksasa.
Selepas angkatan laut itu bertolak, garuda itu pun datang menyerang. Setiap kali ia cuba hendak membinasakan kapal-kapal angkatan itu, Merong Mahawangsa menukar anak panahnya menjadi jentayu menangkisnya. Tetapi pada masa kapal Merong Mahawangsa singgah di suatu pulau kerana hendak mengambil bekalan air dan berpisah dengan kapal-kapal yang lain, burung garuda itu telah berjaya di atas cita-citanya. Ia telah menenggelamkan semua kapal-kapal dan boleh dikatakan semua anak-anak kapal telah mati lemas.
Burung garuda itu menyangka anak Raja Rom pun telah mati lemas juga tetapi ia tidak tahu bahawa anak Raja itu dapat menyelamatkan dirinya dengan bergantung pada sekeping papan dan hanyut dibawa arus ke pantai Pulau Lang­kawi.
Di pulau itu, ia telah berjumpa dengan dayang dan kundang Puteri Raja Cina itu dan dibawa menghadapnya. Burung garuda itu tidak tahu tentang hal ini kerana dirahsiakan dan anak Raja Rom itu bersembunyi di dalam sebuah gua.
Kerana yakin bahawa anak Raja Rom itu telah terkorban, burung garuda pun terbang pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman sembah maklum dengan takburnya mengatakan ia telah menangkap Puteri Raja Cina, dayang dan kundangnya dan telah memusnahkan angkatan laut Raja Rom dan membunuh anak Raja Rom.
Apabila Nabi Allah Sulaiman mendengar percakapan takbur burung garuda itu, ia pun menitahkan Raja Jin yang bernama Harman Shah, menghantarkan wazirnya dengan seratus orang jin membawa Puteri Raja Cina dan anak Raja Rom serta dayang dan kundang masuk menghadap. Wazir itu pun menyembah dan membawa balik keempat-empat orang itu.
Maka, kerana malu di atas kegagalannya menahan perkahwinan itu, burung garuda pun terbang berundur dari dunia membuang diri.
Nabi Allah Sulaiman pun memerintahkan Harman Shah membawa kedua-dua putera dan puteri ke Benua Cina dan dikahwinkan mengikut adat istiadat anak Raja-raja.
Raja Merong Mahawangsa yang telah menyangka anak Raja Rom itu telah hilang, belayar masuk ke Kuala Merbok dan menurut sejarah Kedah, ia telah dilantik menjadi Raja Kedah yang pertama.

Tuesday, 17 September 2013

Pengembaraan Amir Misteri – Siri 6



"Kunjungan Makhluk Dari Planet Nivo"

- karya Cikgu Mohd Zor Ali




            Pendaratan kapal angkasa bagai suatu ancaman kepada makhluk di

Bumi. Penduduk Kota Ansara cemas. Amir Misteri juga rasa terancam. Selama

ini, Amir mudah menghadapi masalah yang ditempuhi. Malah dia begitu mudah

menolong orang yang di dalam kesusahan. Apakah aku dapat menghadapi

masalah baru yang mencabar ini? Demikian bisik hati Amir.



            Cahaya dari kapal angkasa yang berbentuk piring itu menyilaukan mata.

Orang ramai rasa cemas dan ada yang terbelalak mata melihat kehebatan objek

terbang yang tidak bersayap itu. Kemudian keluar empat orang makhluk yang

berwarna hijau tua. Bentuk badannya macam manusia tetapi terdapat dua

sesungut di kepalanya dan matanya bulat bagai telur ayam. Pada pakaian

mereka terdapat butang-butang yang bernyala. Namun  tiada senjata berbahaya

di tangan mereka.



           Amir bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya dia

terpaksa mempertahankan diri, dia akan lakukannya. Demi kesejahteraan Bumi,

Amir sedia mempertaruhkan nyawanya.



          Makhluk asing itu semakin mendekati Amir.  Ketika itu orang ramai lari

lintang-pukang. Ada yang meninggalkan kota dengan kenderaan masing-masing.

Mereka takut Kota Ansara dimusnahkan oleh makhluk yang tidak diundang itu.

Polis telah mengawal tempat itu. Kemungkinan pasukan tentera juga akan

dikerah jika keadaan memaksa.

        “Kami datang dengan aman, “ kata ketua mereka sambil menghulurkan

tangan. Suaranya halus tetapi bergetar seperti suara robot.

        “Saya Amir. Siapa awak semua?” Amir bertanya sambil berjabat tangan.

Terasa sejuk tangan makhluk itu.

        “Kami datang dari planet Nivo. Kami mahu bersahabat dengan penduduk

Bumi. Kami di planet  Nivo hidup dalam aman damai. Kami juga maju dalam

sains dan teknologi.”

       “Habis, apa tujuan awak semua datang ke planet kami?” Tanya Amir ingin

tahu.

       “Amir, kami tahu awak seorang budak ajaib yang jujur dan

bertanggungjawab. Tugas kami sama sahaja dengan tugas awak iaitu menolong

makhluk yang mengalami masalah dan kesusahan,” ujar ketua makhluk itu .

Barulah Amir tahu bahawa makhluk itu datang dengan niat yang baik. Rasa

cemasnya menurun. Makhluk itu  mengeluarkan satu kotak aluminium sebesar 

kotak tisu.



      “Di dalam bekas ini terdapat benih pokok Raxin yang tidak terdapat di Bumi.

Mengikut kajian kami, pokok Raxin dapat hidup subur  di planet Bumi. Biji-biji

benih ini akan menghasilkan pokok yang mengeluarkan banyak oksigen dan

menyerap kimia beracun dalam udara. Dengan itu, makhluk Bumi akan dapat

menyelesaikan masalah udara yang tercemar. Kami berharap agar makhluk

Bumi akan sihat dan segar. Tiada lagi masalah pencemaran udara. Tapi jangan

lupa, alam sekitar hendaklah sentiasa dijaga.”

        
             Amir kagum dengan kebaikan dan persahabatan yang telah ditunjukkan

oleh makhluk Nivo. Amir tahu bahawa kualiti udara di bumi sudah kurang baik

kerana banyak berlaku pencemaran. Kilang-kilang mengeluarkan asap yang

tidak baik untuk kesihatan. Sungai-sungai tercemar akibat daripada sisa-sisa

toksid dan pembuangan sampah yang berleluasa. Sikap buruk manusia akhirnya

menyusahkan mereka sendiri.



       Amir terus mengambil kotak berisi benih tadi. Apabila ditekan butang

berwarna hijau, kotak itu terbuka.  Terlihat oleh Amir biji-biji benih kecil berwarna

putih.


      “Terima kasih atas keprihatinan awak semua. Semoga suatu hari nanti, kami

pula dapat membantu awak di planet Nivo. Persahabatan macam inilah yang

kita perlukan. Bukankah ramai sahabat lebih baik daripada ramai musuh,” jelas

Amir yang mengalu-alukan persahabatan itu. Mereka bersalam-salaman

sebelum berpisah.



      Keempat-empat makhluk asing itu berundur diri. Mereka berdiri di dalam

cahaya biru yang dipancarkan dari kapal angkasa mereka. Dalam masa lima

saat sahaja, mereka telah dibawa ke dalam kapal dengan cahaya itu. Pintu kapal

ditutup perlahan-lahan.



      Tiba-tiba skrin pada bahagian hadapan kapal angkasa itu mengeluarkan

tulisan seperti cahaya laser. Tulisan itu berbunyi, “ Jaga Alam Kita Untuk

Kesejahteraan Sepanjang Masa.”

   

          Kini kapal angkasa itu  terapung-apung di udara. Sebentar kemudian kapal 

angkasa yang canggih itu meluncur laju di udara lalu hilang  di angkasaraya.

Semua orang yang berada di situ teruja oleh kehebatan piring terbang itu.


          Amir Misteri dikerumuni orang ramai. Masing-masing mahu melihat apa

yang ada di tangan Amir. Amir menyuruh mereka bertenang. Apabila suasana

terkawal, Amir pun menunjukkan biji-biji benih yang berada di dalam kotak itu

kepada mereka. Amir juga menerangkan apa yang berlaku.



          Kemudian Amir menyerahkan kotak yang berisi benih-benih pokok Raxin

itu kepada pihak berkuasa. Biarlah pihak berkuasa menguruskan kajian dan

penanaman biji-biji benih Raxin itu. Orang ramai kagum dengan keberanian

Amir. Mereka tidak kenal siapa Amir. Amir juga tidak bercadang

memperkenalkan dirinya. Baginya, dirinya tidak penting. Yang penting ialah

membuat baik dan menabur jasa.

           
            Satu persoalan yang bermain di fikiran Amir. Sampai bila Bumi ini selamat

untuk didiami oleh generasi akan datang jika masing-masing tiada sikap

bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

           
            Terima kasih makhluk Nivo.


 



Monday, 16 September 2013

Selamat Hari Malaysia 2013

 Selamat Hari Malaysia 2013: Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia. Selamat bercuti dan selamat berhujung minggu.Alhamdulillah,keamanan malaysia masih dapat dikekalkan sehingga kini.Jika tanda perpaduan,keamanan tidak akan dicapai sehingga sekarang.Sekali lagi saya mahu mengucapkan Selamat Hari Malaysia Yang Ke-50.


                                                                                                      

Dari,Wan Mohd FarisKelas:5Amanah,Sekolah Kebangsaan Pusat,Kemaman.

              

Saturday, 14 September 2013

Usaha Tangga Kejayaan


                       Anis Izaty binti Ahmad Zamri, 5Amanah, AJK Blog Bakatminda

Rayyan berumur 12 tahun. Dia berasal daripada keluarga yang berada. Dia bersekolah di Sk Taman Silver. Dia berada di kelas Tahun 6 Cemerlang.
                       Rayyan seorang yang lemah dalam dalam pelajaran. Dia tidak suka belajar dan sering tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Oleh sebab itu, kerja rumahnya tidak pernah selesai.Dia sering dimarahi oleh guru-gurunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
                       Dia selalu membuli murid-murid yang lebih kecil darinya. Suatu hari, dia membuli seorang murid di belakang tandas. Ketika itu, Cikgu Amran sedang meronda sekeliling sekolah. Cikgu Amran ternampak Rayyan membuli. Beliau terus menangkap Rayyan lalu membawanya berjumpa dengan guru besar. Cikgu Amran menceritakan kepada guru besar tentang kejadian itu.
                       Selepas mendengar penerangan Cikgu Amran, guru besar terus menghubungi ibu bapa Rayyan. Beliau memberitahu kepada mereka tentang kejadian tersebut. Apabila Rayyan pulang ke rumah, dia dimarahi oleh ibu bapanya. Dia berjanji akan insaf dan tidak akan mengulanginya lagi. Sejak dimarahi, dia belajar bersungguh-sungguh dan menyiapkan semua kerja rumahnya. Dia juga tidak lagi membuli murid yang lebih kecil darinya. Peperiksaan UPSR sudah tiba. Rayyan menjawab peperiksaan itu dengan bersungguh-sungguh.
                       Apabila keputusan diumumkan, Rayyan mendapat 5A dalam UPSR dan dia adalah murid yang mendapat markah tertinggi dalam semua matapelajaran. Dia berterima kasih kepada guru-gurunya kerana telah mengajarnya sehingga mendapat keputusan yang cemerlang. Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan.
sumber: karangan upsr

Friday, 13 September 2013

Hari Malaysia

selamat-hari-malaysia
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.  Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.
Mencari Nilai Hari Malaysia

TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.
Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.
Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.
Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina emperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.  Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.
Namun, Hari Malaysia dan sejarahnya ini akan hanyut ditelan zaman. Sekalipun tidak hilang, tetapi apalah nilai Hari Malaysia jika sejarahnya hanya tersimpan di arkib, perpustakaan dan memori generasi lama? Apakah generasi muda sedar akan kewujudan Hari Malaysia?
Jawapan yang ada mungkin ya dan mungkin tidak, kerana tiada kajian rasmi yang menunjukkan persepsi ini. Namun, cubalah kita bertanya-tanya dengan anak-anak kita, cucu-cucu kita atau tanya sahaja dengan belia remaja yang kita temui di pusat-pusat membeli belah, yang sedang meladeni diri di kaki-kaki jalan dan yang terperuk di rumah memaku matanya pada skrin TV atau komputer. Jawapan yang kita terima, mungkin boleh dijadikan sebagai gambaran persepsi di atas.
Tulisan ini gambaran persepsi yang diterima melalui jawapan-jawapan daripada belia remaja sekeliling penulis. Hasilnya, penulis kecewa dan gusar akan nasib Hari Malaysia dan sejarahnya di masa mendatang. Ya, ada yang sedar akan kewujudan Hari Malaysia, tetapi apakah nilaiannya pada mereka? Apatah lagi yang tidak sedar akan kewujudan Hari Malaysia. Ini merupakan satu fenomena tidak sihat dalam perkembangan diri generasi muda. Buta sejarah akan menjadikan mereka rapuh jati diri yang akan merendahkan semangat patriotik pada diri mereka.
Permasalahan ini tidak dapat hanya kita sandarkan penyelesaiannya melalui pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah dan Pendidikan Sivik di sekolah. Kesedaran tentang kewujudan Hari Malaysia tidak boleh hanya terkurung dalam kurikulum pendidikan formal di sekolah. Penghayatannya perlu dalam bentuk interpretasi dalam kehidupan realiti.
Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos saban tahun merupakan contoh terbaik kesedaran melalui kurikulum pendidikan sekolah dan penghayatan melalui interpretasi dalam kehidupan realiti. Kita belajar akan Hari Kemerdekaan di sekolah dan kita lihat betapa pentingnya tarikh tersebut melalui sambutan gilang-gemilang menyambut tarikh tersebut.
Nah, tentu sahaja memberi kesan yang membekas pada diri generasi muda untuk memahami bahawa Hari Kemerdekaan merupakan satu peristiwa penting dan sejarahnya akan terus hidup dalam diri mereka. Justeru, cadangan menaik taraf penghargaan terhadap Hari Malaysia merupakan satu cadangan yang praktikal dan signifikan demi memastikan Hari Malaysia dan sejarahnya akan terus wujud dan hidup dalam diri generasi muda.
Penarafan semula penghargaan terhadap Hari Malaysia boleh sahaja dilaksanakan melalui sambutan rasmi sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, hebahan melalui media cetak mahupun televisyen melalui pemaparan imbauan sejarah juga penting untuk menyebarkan kesedaran dan menanam penghayatan akan peristiwa penting pada tarikh tersebut. Bukan hanya setakat sebagai bahan bualan oleh hos rancangan televisyen atau tajuk rencana akhbar, Hari Malaysia perlu dijadikan sebagai tema rasmi dalam media cetak dan televisyen untuk tarikh 16 September tersebut.
NGO atau organisasi masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan kesedaran dan penghayatan Hari Malaysia di peringkat akar umbi masyarakat. Melalui penganjuran sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung, kawasan perumahan atau dengan acara forum, ceramah, tayangan filem dan lain-lain akan membantu masyarakat khususnya generasi muda untuk memahami mesej betapa taikh 16 September merupakan tarikh penting yang mengandungi peristiwa yang cukup signifikan untuk Malaysia.
Mungkin juga pengisytiharan tarikh 16 September setiap tahun sebagai hari cuti umum untuk seluruh negeri akan menunjukkan betapa kerajaan Malaysia benar-benar serius dalam menghargai Hari Malaysia. Pengisytiharan cuti umum ini akan membuka ruang untuk sambutan gilang-gemilang sempena Hari Malaysia dilaksanakan.
Tentu sahaja rakyat di Sarawak dan Sabah akan lebih merasakan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia secara keseluruhan. Maka Hari Malaysia akan dirai bersama sebagai bukti kesedaran dan penghayatan seluruh rakyat daripada seluruh negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Seperti mana generasi muda sedar akan Hari Kemerdekaan tanggal 31 Ogos setiap tahun, maka begitu jugalah mereka akan sedar akan peri penting tarikh 16 September dalam lipatan sejarah Malaysia melalui penghayatan yang selayaknya untuk Hari Malaysia.
Jangan biarkan generasi muda terus dilupakan tentang sejarah Malaysia yang dipenuhi dengan warna-warni perjuangan generasi terdahulu. Penghargaan yang setimpal harus diraikan untuk peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia yang membentuk Malaysia seperti yang kita lihat hari ini. Melalui kesedaran sejarah, maka generasi muda akan mampu menghayati nilai sebenar Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis)
sumber : Berita Harian

Dari : Muhammad Arif Solihin B. Mohd Syukri
Kelas : 5 Amanah
Sekolah Kebangsaan Pusat  Kemaman

Thursday, 12 September 2013

Makna bacaan tahyat akhir

Makna bacaan tahyat akhir:Segala ucapan selamat yang penuh keberkatan (berganda-ganda) dan doa yang baik-baik semuanya kerana ALLAH.ayat 1) Selamat sejahtera atasmu wahai Nabi dan rahmat ALLAH dan keberkatan-Nya.ayat 2) Dan selamat sejahtera atas kita dan juga hamba-hamba ALLAH yang baik-baik.ayat3) Aku mengaku bahawa tiada tuhan disembah melainkan ALLAH.ayat4) Dan aku mengaku bahawa Muhammad utusan ALLAH.ayat5) Ya ALLAH, anugerahkanlah kesejahteraan ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.ayat6) Seperti yang telah Engkau anugarahkan kesejahteraan atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim.ayat7) Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad.ayat8) Seperti yang Engkau berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim.ayat9) Sesungguhya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi.ayat9) Kiriman :Syirhan 5A

Tuesday, 10 September 2013

Pengembaraan Amir Misteri  – Siri 5
"Nasib Si Bani"


- karya Cikgu Mohd Zor Ali



  
           Perut Si Bani berkeroncong. Dia terasa amat lapar. Sudah berhari-hari dia tidak makan dengan sempurna.Beginilah nasibnya. Si Bani dibela tetapi makan  minumku tidak dijaga. Ada sisa makanan atau nasi, barulah dia dapat merasa. Itupun tulang- tulang yang bersisa.  Kadang-kadang dia termuntah-muntah kerana terlekat tulang. Lebih malang lagi apabila dia dipukul dengan penyapu kerana mengotorkan rumah.

            Suatu hari, tuan Si Bani sekeluarga pergi bercuti ke ibu kota. Si Bani ditinggalkan sendirian. Tiada makanan disediakan. Dia terpaksa mencari makanan di rumah jirannya. Makanan yang ada di luar rumah cuma tulang-tulang dan sisa-sisa lauk yang telah basi. Kalau dimakannya sudah pasti perutnya akan sakit.

            Si Bani berfikir macam mana untuk mendapatkan makanan. Dia sudah tidak berdaya lagi. Kalau dia tidak dapat makanan juga sudah pasti dia akan mati kelaparan. Si Bani mendapat satu akal.  Dia mesti memberanikan diri untuk menyelongkar makanan di dapur rumah jirannya.
  
          Matahari sudah tegak di atas kepala. Dia tahu tuan rumah sudah selesai memasak. Aroma ikan goreng menusuk hidungnya. Bau itu membuatkan Si Bani bertindak dengan segera tetapi berhati-hati. Dia naik ke rumah jirannya perlahan-lahan.  Pintu rumah itu selalu terbuka. Ini memudahkan kerjanya. Diintainya kalau-kalau ada orang di dalam dapur. Nasibnya baik. Kebetulan tuan rumah tiada di dapur. Si Bani melompat di atas meja. Wah, banyak lauk-pauk terhidang. Ada sayur goreng. Ada gulai ikan dan ada ikan aya goreng. Nasi pun sudah 
tersedia. Mungkin sebentar lagi tuan rumah sekeluarga akan ke dapur untuk makan tengahari. Apalagi, Si Bani mula meratah ikan goreng yang mencairkan air liurnya. .Bukan main enak lagi. Hampir habis seekor ikan itu dikunyahnya.

              “Cis! Cis! Kucing keparat! Habis ikan aku” maki tuan rumah. Tiba- tiba Si Bani berasa sakit.Dia melarikan diri dalam keadaan terhincut- hincut. Rupa-rupanya, pukulan batang penyapu hinggap di kakinya. Dia menangis kesakitan, tetapi tiada siapa mempedulikannya. Tuannya pun tiada.   Si Bani menyorok di bawah rumah. Dia bimbang kalau-kalau tuan rumah terus mencari dan memukulnya. Dia ketakutan.

              Dua hari Si Bani menahan sakit dan lapar. Sejak hari itu, dia belum dapat makanan yang mengenyangkan. Dia cuma dapat makan serangga , tulang-tulang dan minum air longkang. Dia masih berjalan terhincut-hincut kerana kakinya masih terasa sakit. Dia rasa bagai tulang kakinya patah. Kalau patah pun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Itulah nasibnya. Dia akan merasa sepanjang hayat.
  
             Deruman enjin kereta tuannya memberikannya harapan. Keluarga tuannya kelihatan gembira selepas pulang dari bercuti. Apabila keadaan telah tenang, Si Bani terus mendapatkan tuannya. Dia menggesel-gesel kaki tuannya sambil mengiau- ngiau anja. Sebenarnya dia sakit dan lapar. Encik Osman, tuannya terkejut melihat keadaan Si Bani. Dia membelek- belek kaki Si Bani apabila melihat Si Bani berjalan terhincut- hincut. Dia dapati kaki kucingnya itu patah.
  
             “Iwan, tolong buang Si Bani ni” 
             “Mengapa ayah?” Tanya Iwan sambil melihat kaki Si Bani. 
             “Si Bani ni dah tempang agaknya. Baik kita bela kucing Siam pula,” cadang ayahnya.

              Iwan bersetuju membuang Si Bani walaupun hatinya sedih. Dia mahu seekor kucing Siam yang cantik. Lalu dia terpaksa membuang Si Bani jauh dari rumahnya. Iwan meletakkan Si Bani di dalam bakul basikal. Si Bani tidak meronta. Memang dia pernah dibawa oleh Iwan bersiar-siar dengan basikal pada waktu petang. Tetapi kali ini, Si Bani dibawa jauh dari rumahnya. Dia belum pernah sampai di sini. Di sekelilingnya semak-samun. Rumah orang tidak banyak di kawasan itu. Tidak jauh dari sebuah rumah kosong,Iwan memberhentikan basikalnya. Si Bani merasa pelik.

             Iwan mengambil Si Bani dari dalam bakul basikal. Dia memeluk dan mencium Si Bani. Kaki Si Bani yang tempang digosoknya. Dia merasa amat sedih tetapi apakan daya. Dia mahu seekor kucing Siam yang dijanjikan oleh ayahnya. Kesedihannya bersebab. Si Bani dibelanya sejak kecil. Sedikit sebanyak kasih sayangnya tertumpah kepada Si Bani. Si Bani pun selalu bermanja dengannya. Nama Si Bani pun dialah yang memberinya.

           “Maafkan aku Si Bani. Aku terpaksa membuang kau di sini. Aku takut nanti kau bergaduh dengan kucing Siam yang ayahku akan bawa pulang nanti.” Iwan memujuk-mujuk Si Bani. Dia tahu Si Bani tidak faham percakapannya dan tidak pandai berkata-kata. Namun, Iwan rasa bersalah. Dia perlu memohon maaf dari Si Bani. Mudah-mudahan Si Bani tidak mengutuknya.

          Iwan melepaskan Si Baninperlahan-lahan dari pelukannya. Si Bani mengiau manja. Kini Si Bani sudah tahu tujuan tuannya membawanya ke situ. Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Itu sudah memang takdir untuknya.

             “Inikah balasanmu terhadap binatang, Iwan?”  Amir Misteri menegur perbuatan Iwan yang tidak mengenang jasa itu. Dulu, semasa rumahnya banyak tikus, Si Banilah yang diharapkan untuk membasmi  makhluk perosak itu. Kini apabila Si Bani telah tempang, Iwan bertindak membuangnya bagai sampah. Iwan menoleh ke  belakang. Seorang budak lelaki sebayanya sedang memerhatikannya.

         “Siapa awak?” tanya Iwan.
            “Itu tidak penting, Sudahlah kau tidak menjaga kucingmu dengan baik, apabila dia cacat kau mahu membuangnya pula. Kau zalim Iwan. Keluargamu zalim  Iwan. Sepatutnya apabila kita membela binatang, kita mestilah lakukan seperti kita membela manusia. Ini tidak. Kau membiarkannya kelaparan. Di mana sifat kemanusiaanmu?” Amir Misteri bagai memberi khutbah.

           Amir menyambung lagi apabila menyedari Iwan tertunduk malu. 
          “ Iwan, haiwan juga perlukan makan minum yang sempurna macam kita. Haiwan juga perlu makanan yang berzat untuk cergas dan sihat. Haiwan juga perlu rawatan apabila sakit. Kita tidak boleh membiarkan haiwan perliharaan kita kelaparan dan merana kesakitan. Agama kita mengajar kita berbuat baik kepada binatang.”

              Teguran itu menyelinap ke dalam sanubari Iwan.Betul juga kata budak ini. Mengapakah aku sekejam ini. Semasa kucing ini sihat, aku peluk dan aku belai. Tetapi apabila cacat, aku hendak buang pula. Sepatutnya, aku bawa Si Bani ke klinik haiwan. Menyedari kesilapannya, Iwan tidak jadi membuang Si Bani. Dia rasa dirinya cukup zalim. Si Bani yang dari tadi menggesel-gesel kakinya, dipeluknya semula.

            “Terima kasih kerana menegur saya daripada kesilapan. Memang saya tidak terfikir selama ini. Saya akan terangkan hal ini kepada ayah saya.Saya berjanji akan memeliharan Si Bani dengan baik.”

            Selepas memohon diri, Iwan meletakkan Si Bani ke dalam bakul basikalnya. Dia mengayuh basikalnya pulang. Amir Misteri tersenyum puas. Dia berjaya lagi dalam misinya. Kali ini dia berjaya menyedarkan manusia dan menyelamatkan nasib binatang. Lalu Amir Misteri meneruskan pengembaraannya. Ada manusia lain yang perlu dibantu.