"JUMPA BUDAK PANAU"
karya Cikgu Mohd Zor Ali
Matahari
sudah condong ke barat. Cuaca pada petang itu terang tapi panasnya tidaklah
berbahang. Lebih-lebih lagi sekali-sekala angin bertiup bagi menyapu lembut.
Suasana nampak damai dan nyaman.
Amir Misteri terus mengembara. Dia
mengembara dari satu tempat ke satu tempat.
Dari sebuah kampung ke sebuah kampung. Dari sebuah bandar ke sebuah
bandar. Tugasnya ialah membantu dan menolong orang. Malah kalau haiwan
memerlukan pertolongan dia akan tolong. Baginya, dia akan menabur jasa selagi
mampu.
Amir tiba di sebuah kampung yang
agak pendalaman. Kebanyakan rumah di situ
dibuat daripada papan. Penduduknya tidaklah padat sangat. Sebahagian besar
kawasannya pula ditumbuhi pokok-pokok kelapa dan semak-samun. Di hujung
kampung itu terdapat sebuah sungai yang jernih airnya. Suasana di situ sungguh
nyaman dan sejuk mata memandang.
Amir ternampak seorang budak duduk
di bawah pohon ketapang berhampiran
dengan sungai itu. Budak itu sedang menangis seorang diri.“Mengapa
agaknya budak ini menangis? “ tanya Amir di dalam hati.
“Wahai kawan, mengapakah awak
menangis sampai tersedu-sedu ni?” Amir
mengganggu ketenangan budak itu. Budak yang bernama Fadli itu terkejut. Dia malu-malu
lalu mengesat air matanya.
“Maaf kerana saya mengganggu awak.
Saya Amir. Boleh awak beritahu
kepada saya
mengapa awak menangis seorang diri di sini?”
“Kawan-kawan saya mengejek saya.
Mereka mengatakan saya Budak Panau. Saya
malu dihina begini,”jelas Fadli sambil mengesat pipinya yang basah sekali lagi.
Amir melihat badan Fadli.
Tompok-tompok panau terdapat pada lengannya.
Mungkin pada badannya banyak lagi tompok-tompok itu, bisik hati Amir.
“Begini Fadli,” kata Amir. Fadli
agak hairan apabila Amir tahu namanya. Dia tidak
pernah berjumpa dan berkawan dengan Amir. Macam mana Amir kenal namanya.
“Tak guna awak menangis. Ini silap
awak juga.” Amir berkata lagi. Fadli tercengang
apabila dia dituduh melakukan kesilapan. Kesilapan apa?
“Panau ialah sejenis penyakit kulit
yang dibawa oleh kuman. Kuman pula biasanya
terdapat pada tempat atau badan yang kotor. Apabila badan dan pakaian kita
kotor, mudahlah badan kita ditumbuhi panau atau kurap,” terang Amir macam
guru sains.
Kata-kata Amir itu membuatkan Fadli
teringat akan ajaran Cikgu Zatipah semasa
pelajaran PJK. Cikgu Zatipah pernah bercerita tentang jenis-jenis penyakit dan
punca-puncanya. Selama ini, Fadli tidak mengambil berat langsung nasihat yang
diberikan oleh Cikgu Zatipah. Dia Cuma mendengar. Dia tidak amalkan ilmu
dan nasihat yang didengari.
Sambung Amir lagi macam beri
khutbah, “Badan awak naik panau kerana awak selalu
mandi ketika badan masih berpeluh. Awak pakaian baju yang sudah kotor. Tempat
tidur awak juga mungkin tidak dibersihkan. Awak juga kurang makan
sayur-sayuran. Inilah puncanya badan awak ditumbuhi panau.”
“Betul-betul macam kata Cikgu
Zatipah. Mengapalah aku tidak ambil berat selama ini.
Apabila badan sudah naik panau, pandai pula aku malu,” bisik hatinya lagi.
“Baiklah Fadli. Amalkan sahaja
nasihat ibu bapa dan guru awak. Balik nanti bersihkan
tempat tidur awak. Jangan lagi pakai kain selimut yang telah kotor. Pakaian
hendaklah bersih. Bilik awak hendaklah dimasuki oleh cahaya matahari.
Dan jangan
lupa makan makanan yang awak tak suka itu…sayur-sayuran.”
“Bolehkah
panau di badan saya ni hilang?”
“Boleh,
asalkan awak amalkan cara hidup sihat.Pecayalah pada diri sendiri.”
Selepas itu, Amir minta izin untuk
pergi dari situ. Hari pun sudah senja. Amir
meninggalkan kawasan yang damai itu sambil diperhatikan oleh Fadli. Tidak lama
kemudian Fadli pun melangkah pulang ke rumahnya.
Sejak hari itu, Fadli mengamalkan
petua yang diberikan oleh Amir dan Cikgu
Zatipah. Pada setiap pagi sebelum pergi ke sekolah, dia akan menjemur bantal dan
kain selimutnya. Pakaian dijemur dengan menggunakan penyangkut baju. Tingkap
biliknya dibuka agar cahaya matahari dapat masuk.
Tiga kali sehari dia menggosok gigi.
Dia gosok gigi pada waktu pagi, tengahari dan
sebelum tidur. Ketika mandi, dia tidak lupa lagi untuk bersabun. Dia tidak
lagi memakai pakaian yang sudah kotor atau berpeluh. Dan yang lebih mencabarnya
ialah apabila dia melawan kebenciannya pada sayur. Dulu, apabila tengok lauk
sayur, dia tak pandang pun. Sekarang, apabila dia melihat panau di badannya, dia
gagahkan dirinya untuk makan lauk sayur. Kini, rasa sedap pula rasanya.
Sikapnya yang telah berubah itu,
menarik perhatian Mak Esah dan Pak Musa. Ibu dan
bapa mana yang tak suka tengok anak-anak sihat. Memang selama ini
disuruh Fadli makan sayur-sayuran tapi apakan daya mereka. Fadli enggan.
Mak Esah dan Pak Musa tidak lupa
untuk memuji sikap Fadli yang baik itu. Dada
Fadli kembang apabila dia dipuji. Kembang macam bunga raya. Indah dan ceria.
Hampir sebulan Fadli mengamalkan gaya hidup sihat itu.
Perubahan telah kelihatan.
Badannya makin segar dan kulitnya makin cerah. Tompok-tompok panau sudah
menghilang. Giginya pula semakin bersih dan putih. Tiada lagi bau busuk yang
keluar dari mulutnya apabila bercakap. Suka hatinya bukan main. Kalau boleh
dia mahu melompat setinggi-tingginya.
“Ikutlah sikap Fadli. Dulu awak
semua selalu memanggilnya sebagai Budak Panau.
Kini Fadlilah cikgu tengok paling handsome dalam kelas ini.” Pujian Cikgu
Zatipah itu sungguh-sungguh mengembangkan hidungnya.
Balik ke rumah, Fadli terus
menghadap cermin. Betul. Dia kelihatan handsome.
Wajahnya berseri-seri. Fadli yang kegirangan melompat tak sedar diri.
“Ada apa ni Fadli?” tegur ibunya kehairan dari
sebelah dapur. “Tak ada apa
mak,” jawab Fadli tersipu-sipu kerana malu akan perbuatannya itu.
“Budak Panau! Budak Panau!”
Tiada lagi gelaran yang
memalukan itu. Terima kasih ibu. Terima kasih ayah. Terima
kasih Cikgu Zatipah. Terima kasih…….. Aamirr? Di mana Amir?
No comments:
Post a Comment