VIDEO SKP DI YOUTUBE

VIDEO HARI ANUGERAH 2013,

Tuesday, 17 September 2013

Pengembaraan Amir Misteri – Siri 6



"Kunjungan Makhluk Dari Planet Nivo"

- karya Cikgu Mohd Zor Ali




            Pendaratan kapal angkasa bagai suatu ancaman kepada makhluk di

Bumi. Penduduk Kota Ansara cemas. Amir Misteri juga rasa terancam. Selama

ini, Amir mudah menghadapi masalah yang ditempuhi. Malah dia begitu mudah

menolong orang yang di dalam kesusahan. Apakah aku dapat menghadapi

masalah baru yang mencabar ini? Demikian bisik hati Amir.



            Cahaya dari kapal angkasa yang berbentuk piring itu menyilaukan mata.

Orang ramai rasa cemas dan ada yang terbelalak mata melihat kehebatan objek

terbang yang tidak bersayap itu. Kemudian keluar empat orang makhluk yang

berwarna hijau tua. Bentuk badannya macam manusia tetapi terdapat dua

sesungut di kepalanya dan matanya bulat bagai telur ayam. Pada pakaian

mereka terdapat butang-butang yang bernyala. Namun  tiada senjata berbahaya

di tangan mereka.



           Amir bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya dia

terpaksa mempertahankan diri, dia akan lakukannya. Demi kesejahteraan Bumi,

Amir sedia mempertaruhkan nyawanya.



          Makhluk asing itu semakin mendekati Amir.  Ketika itu orang ramai lari

lintang-pukang. Ada yang meninggalkan kota dengan kenderaan masing-masing.

Mereka takut Kota Ansara dimusnahkan oleh makhluk yang tidak diundang itu.

Polis telah mengawal tempat itu. Kemungkinan pasukan tentera juga akan

dikerah jika keadaan memaksa.

        “Kami datang dengan aman, “ kata ketua mereka sambil menghulurkan

tangan. Suaranya halus tetapi bergetar seperti suara robot.

        “Saya Amir. Siapa awak semua?” Amir bertanya sambil berjabat tangan.

Terasa sejuk tangan makhluk itu.

        “Kami datang dari planet Nivo. Kami mahu bersahabat dengan penduduk

Bumi. Kami di planet  Nivo hidup dalam aman damai. Kami juga maju dalam

sains dan teknologi.”

       “Habis, apa tujuan awak semua datang ke planet kami?” Tanya Amir ingin

tahu.

       “Amir, kami tahu awak seorang budak ajaib yang jujur dan

bertanggungjawab. Tugas kami sama sahaja dengan tugas awak iaitu menolong

makhluk yang mengalami masalah dan kesusahan,” ujar ketua makhluk itu .

Barulah Amir tahu bahawa makhluk itu datang dengan niat yang baik. Rasa

cemasnya menurun. Makhluk itu  mengeluarkan satu kotak aluminium sebesar 

kotak tisu.



      “Di dalam bekas ini terdapat benih pokok Raxin yang tidak terdapat di Bumi.

Mengikut kajian kami, pokok Raxin dapat hidup subur  di planet Bumi. Biji-biji

benih ini akan menghasilkan pokok yang mengeluarkan banyak oksigen dan

menyerap kimia beracun dalam udara. Dengan itu, makhluk Bumi akan dapat

menyelesaikan masalah udara yang tercemar. Kami berharap agar makhluk

Bumi akan sihat dan segar. Tiada lagi masalah pencemaran udara. Tapi jangan

lupa, alam sekitar hendaklah sentiasa dijaga.”

        
             Amir kagum dengan kebaikan dan persahabatan yang telah ditunjukkan

oleh makhluk Nivo. Amir tahu bahawa kualiti udara di bumi sudah kurang baik

kerana banyak berlaku pencemaran. Kilang-kilang mengeluarkan asap yang

tidak baik untuk kesihatan. Sungai-sungai tercemar akibat daripada sisa-sisa

toksid dan pembuangan sampah yang berleluasa. Sikap buruk manusia akhirnya

menyusahkan mereka sendiri.



       Amir terus mengambil kotak berisi benih tadi. Apabila ditekan butang

berwarna hijau, kotak itu terbuka.  Terlihat oleh Amir biji-biji benih kecil berwarna

putih.


      “Terima kasih atas keprihatinan awak semua. Semoga suatu hari nanti, kami

pula dapat membantu awak di planet Nivo. Persahabatan macam inilah yang

kita perlukan. Bukankah ramai sahabat lebih baik daripada ramai musuh,” jelas

Amir yang mengalu-alukan persahabatan itu. Mereka bersalam-salaman

sebelum berpisah.



      Keempat-empat makhluk asing itu berundur diri. Mereka berdiri di dalam

cahaya biru yang dipancarkan dari kapal angkasa mereka. Dalam masa lima

saat sahaja, mereka telah dibawa ke dalam kapal dengan cahaya itu. Pintu kapal

ditutup perlahan-lahan.



      Tiba-tiba skrin pada bahagian hadapan kapal angkasa itu mengeluarkan

tulisan seperti cahaya laser. Tulisan itu berbunyi, “ Jaga Alam Kita Untuk

Kesejahteraan Sepanjang Masa.”

   

          Kini kapal angkasa itu  terapung-apung di udara. Sebentar kemudian kapal 

angkasa yang canggih itu meluncur laju di udara lalu hilang  di angkasaraya.

Semua orang yang berada di situ teruja oleh kehebatan piring terbang itu.


          Amir Misteri dikerumuni orang ramai. Masing-masing mahu melihat apa

yang ada di tangan Amir. Amir menyuruh mereka bertenang. Apabila suasana

terkawal, Amir pun menunjukkan biji-biji benih yang berada di dalam kotak itu

kepada mereka. Amir juga menerangkan apa yang berlaku.



          Kemudian Amir menyerahkan kotak yang berisi benih-benih pokok Raxin

itu kepada pihak berkuasa. Biarlah pihak berkuasa menguruskan kajian dan

penanaman biji-biji benih Raxin itu. Orang ramai kagum dengan keberanian

Amir. Mereka tidak kenal siapa Amir. Amir juga tidak bercadang

memperkenalkan dirinya. Baginya, dirinya tidak penting. Yang penting ialah

membuat baik dan menabur jasa.

           
            Satu persoalan yang bermain di fikiran Amir. Sampai bila Bumi ini selamat

untuk didiami oleh generasi akan datang jika masing-masing tiada sikap

bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

           
            Terima kasih makhluk Nivo.


 



No comments:

Post a Comment