Diterbitkan Oleh : James F. Augustin Dikirim oleh : Anis Izaty , Kelas : 5Amanah , Sekolah : Sekolah Kebangsaan Pusat Kemaman (SKP) |
Mengikut cerita dongeng
dalam Hikayat Merong Mahawangsa atau "Sejarah Kedah" dimulai dengan
taufan yang membubarkan angkatan laut yang mengiring anak Raja Rom dalam
pelayarannya ke Benua Cina disebabkan oleh seekor burung garuda (dewa
Hindu, sebahagian manusia dan sebahagian burung).
Burung garuda ini kononnya duduk berseorangan di
Pulau Langkawi selepas peperangan Pyrhic di antara Sri Rama Vishnu
dengan Hanuman (dewa Monyet) yang telah membinasakan pulau itu.
Pada suatu hari datanglah seekor burung rajawali
berjumpa burung garuda itu dan memberi perkhabaran kata anak Raja Rom
sedang bersiap hendak berangkat ke Benua Cina dan di sana, ia akan
berkahwin dengan seorang puteri Raja Cina. la mendapat perkhabaran ini
dari seekor burung kakak tua yang menyatakan juga angkatan Raja Rom
sangat besar untuk mengiring bakal pengantin itu.
Maka, apabila burung garuda mendengar cerita, itu ia
berazam hendak menahan perkahwinan itu daripada terjadi, tetapi sebelum
ia berbuat demikian, ia hendak pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman
terlebih dahulu.
Semasa menghadap Nabi Allah Sulaiman, burung garuda
memaklumkan kepada baginda akan perkahwinan itu tidak harus terjadi
kerana kedua-dua anak Raja itu tinggal berjauhan.
Nabi Allah Sulaiman bersabda jika sudah ada jodoh
pertemuan di antara keduanya tiada sesiapa dalam dunia ini berkuasa
boleh menahannya.
Burung garuda itu menjawab ia hendak menahan
perkahwinan itu daripada berlaku. Jika tidak berjaya, ia akan berundur
dari dunia ini.
Burung garuda itu pun bermohon lalu terbang ke Benua
Cina dan berjanji akan balik menghadap menceritakan kesudahannya.
Sesampainya di Benua Cina, ia pun menyambar Puteri Raja Cina itu dengan
kukunya bersama dengan dayang dan kundangnya lalu diterbangkan ke Pulau
Langkawi. Di sini, puteri dengan dayang dan kundangnya diletakkan dalam
sebuah mahligai.
Sementara itu, angkatan laut anak Raja Rom pun
berlayar di bawah perintah Raja Merong Mahawangsa. Ayah Merong
Mahawangsa ini ialah keturunan indera-indera dan bondanya berasal dari
dewa-dewa raksasa.
Selepas angkatan laut itu bertolak, garuda itu pun
datang menyerang. Setiap kali ia cuba hendak membinasakan kapal-kapal
angkatan itu, Merong Mahawangsa menukar anak panahnya menjadi jentayu
menangkisnya. Tetapi pada masa kapal Merong Mahawangsa singgah di suatu
pulau kerana hendak mengambil bekalan air dan berpisah dengan
kapal-kapal yang lain, burung garuda itu telah berjaya di atas
cita-citanya. Ia telah menenggelamkan semua kapal-kapal dan boleh
dikatakan semua anak-anak kapal telah mati lemas.
Burung garuda itu menyangka anak Raja Rom pun telah
mati lemas juga tetapi ia tidak tahu bahawa anak Raja itu dapat
menyelamatkan dirinya dengan bergantung pada sekeping papan dan hanyut
dibawa arus ke pantai Pulau Langkawi.
Di pulau itu, ia telah berjumpa dengan dayang dan
kundang Puteri Raja Cina itu dan dibawa menghadapnya. Burung garuda itu
tidak tahu tentang hal ini kerana dirahsiakan dan anak Raja Rom itu
bersembunyi di dalam sebuah gua.
Kerana yakin bahawa anak Raja Rom itu telah
terkorban, burung garuda pun terbang pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman
sembah maklum dengan takburnya mengatakan ia telah menangkap Puteri
Raja Cina, dayang dan kundangnya dan telah memusnahkan angkatan laut
Raja Rom dan membunuh anak Raja Rom.
Apabila Nabi Allah Sulaiman mendengar percakapan
takbur burung garuda itu, ia pun menitahkan Raja Jin yang bernama Harman
Shah, menghantarkan wazirnya dengan seratus orang jin membawa Puteri
Raja Cina dan anak Raja Rom serta dayang dan kundang masuk menghadap.
Wazir itu pun menyembah dan membawa balik keempat-empat orang itu.
Maka, kerana malu di atas kegagalannya menahan perkahwinan itu, burung garuda pun terbang berundur dari dunia membuang diri.
Nabi Allah Sulaiman pun memerintahkan Harman Shah
membawa kedua-dua putera dan puteri ke Benua Cina dan dikahwinkan
mengikut adat istiadat anak Raja-raja.
Raja Merong Mahawangsa yang telah menyangka anak Raja
Rom itu telah hilang, belayar masuk ke Kuala Merbok dan menurut sejarah
Kedah, ia telah dilantik menjadi Raja Kedah yang pertama.
No comments:
Post a Comment